Search

Buaya sepanjang 3 meter ditangkap dalam parit di Taman Awam Teluk Likas

May 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seekor buaya sepanjang kira-kira tiga meter berjaya ditangkap di dalam parit di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, tengah malam tadi.

Kehadiran reptilia itu disedari oleh beberapa pengunjung yang kebetulan lalu berhampiran kawasan parit di taman awam berkenaan, kira-kira jam 12 tengah malam.

Pegawai APM Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu, jam 12.10 tengah malam.

Buaya ditemui di dalam parit di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota APM Kota Kinabalu diketuai Sarjan Mejer (SM) (PA) Safaruddin Rusline kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan, pengadu memaklumkan terdapat seekor buaya di dalam parit di kawasan taman awam berkenaan

“Sebaik pasukan operasi tiba di lokasi didapati seekor buaya berada di dalam parit dan operasi menangkap buaya itu segera dijalankan bersama pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota APM dan bomba berjaya menangkap buaya sepanjang tiga meter yang berada di dalam parit di Taman Awam Teluk Likas, Kota Kinabalu.

Menurutnya, anggota operasi kemudian menggunakan penjerut, tali dan kain untuk menangkap buaya berkenaan.

“Kira-kira setengah jam, akhirnya buaya sepanjang tiga meter dengan berat kira-kira 180 kilogram itu berjaya ditangkap dan dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu menggunakan kenderaan.

“APM kemudian memaklumkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah berkenaan penangkapan buaya terbabit,” katanya.

Buaya seberat kira-kira 180 kilogram ditangkap di dalam parit di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu.

Katanya lagi, operasi ditamatkan pada jam 1.09 pagi.

“Tiada sebarang kejadian tidak diingini ketika operasi dan ia berjalan dengan lancar,” katanya. – Info X