KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menjelaskan kedudukannya menyokong pendirian dan keputusan kerajaan negeri berhubung tindakan mahkamah yang diambil Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).
Menerusi kenyataan Majlis Pimpinan PH Sabah, hari ini, sokongan itu sejajar dengan kedudukan PH Sabah sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri.
“PH Sabah memahami dan menghormati sepenuhnya keputusan yang diambil oleh SLS dalam membawa isu 40 peratus hak perlembagaan Sabah ke mahkamah dalam permohonan semakan kehakiman mereka.
“Pada 2022 PH Sabah juga telah mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah dengan memfailkan saman pemula menuntut 40 peratus hak perlembagaan Sabah untuk dihormati dan dilaksanakan.
“PH Sabah kini telah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan Sabah bertekad untuk memastikan perkara ini diselesaikan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan dan Jawatankuasa Teknikal (Jawatankuasa MA63) masing-masing diketuai oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Menerusi kenyataan itu, PH Sabah menyatakan memandang positif tindakan SLS yang terus didengar di mahkamah dan pada masa yang sama meyakini komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu MA63 melalui penubuhan Jawatankuasa MA63 dengan wakil daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik ke jawatankuasa itu.
“Walapun dengan Pendekatan yang berbeza namun mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memastikan hak perlembagaan Sabah dalam MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mempersoalkan tindakan berdiam diri PKR dan DAP Sabah berhubung isu itu. – Info X