KOTA KINABALU: Legenda artis terkenal Sabah, Datuk Francis Landong menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan, di sini, semalam.
Beliau menyerahkan borang keahlian parti itu kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan, Datuk Victor P Paut, dan sekali gus dilantik sebagai Duta Kesenian serta Kebudayaan Gagasan Rakyat daerah itu.
Francis, ketika ditemui wartawan selepas majlis penyerahan borang keahliannya berkata, beliau memilih untuk menyertai Gagasan Rakyat kerana melihat kesungguhan parti serta pemimpin parti itu khususnya Victor yang sentiasa prihatin kepada nasib dan keadaan rakyat, beliau berjuang untuk membangunkan daerah ini agar rakyat terbela.
“Cara kepimpinan Datuk Victor dalam memperjuangkan nasib rakyat Tambunan turut mendorong saya menyertai Gagasan Rakyat yang merupakan parti pemerintah yang saya yakin berpotensi sangat besar membangunkan ekonomi daerah Tambunan serta Sabah seterusnya membantu masyarakat.
“Saya dengan rela hati tanpa sebarang syarat hari ini menawarkan diri untuk menyertai Gagasan Rakyat di bawah kepimpinan Datuk Victor P Paut dan saya yakin selepas ini akan ada lagi rakan artis di Tambunan ini akan menyertai saya,” katanya.
Francis juga mengucapkan terima kasih kepada Victor yang turut melantiknya sebagai Duta Kesenian dan Kebudayaan Gagasan Rakyat Tambunan.
“Saya menyedari bahawa perlantikan ini satu amanah dan tanggungjawab yang harus saya pikul, namun sebagai artis dan warga Tambunan, saya bersedia untuk bekerja keras membantu parti mendapatkan lebih banyak keahlian serta menerangkan dasar parti dan kerajaan kepada rakyat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Victor menyambut baik penyertaan Francis dan turut mengalu-alukan artis yang lain untuk turut bersama membangunkan Daerah Tambunan.
“Sudah tentu kehadiran beliau dalam Gagasan Rakyat Tambunan dapat membantu mempromosikan parti kita melalui kesenian dan kebudayaan.
“Sebab kita tahu dan faham lebih mudah kita mempromosikan parti melalui apa yang diminati rakyat. Inilah pendekatan kita sekarang.
“Datuk Francis merupakan seorang artis legenda, yang mempunyai peminat bukan sahaja di Tambunan dan Negeri Sabah, malah di Malaysia dan peringkat antarabangsa.
“Sebagai contoh lagu medley Francis bertajuk `7 minit saya sentuh’ yang masih popular dan menjadi pujaan ramai peminat seni sehingga hari ini,” katanya.
Victor berkata, Gagasan Rakyat Tambunan berbesar hati dan gembira menerima baik penyertaan Francis dan berharap kehadiran beliau akan menjadikan Gagasan Rakyat Tambunan terus kukuh dan lebih kuat untuk terus berjuang membantu rakyat dari pelbagai aspek.
“Sebagai ketua bahagian serta para pemimpin Gagasan Rakyat Tambunan, sudah semestinya kami mengharapkan kehadiran beliau untuk bersama memastikan Parti Gagasan Rakyat dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi yang terbaik dalam membela rakyat,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian Parti Gagasan Rakyat Tambunan, Mohd Hajjaz Iqbal Yusof dan AJ K Bahagian (ketua biro sukan dan rekreasi Parti Gagasan Rakyat Tambunan, Daniel Dilliam. – Info X