KOTA KINABALU: PKR Sabah akan mengadakan konvensyen pertamanya bagi membincangkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada Ogos depan.
Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata konvensyen itu juga dijangka akan memutuskan rakan atau gabungan kerjasama PKR Sabah pada pilihan raya yang dijangka diadakan pada tahun depan itu.
Katanya, konvensyen yang dijangka dihadiri kira-kira 1,000 pemimpin dan ahli PKR Sabah itu akan merangka garis masa persediaan ke arah PRN17 dan memantapkan jentera di peringkat negeri.
“Kita akan mengadakan konvensyen parti khusus untuk Sabah yang mana kita akan panggil semua pemimpin cabang dengan kira-kira 1,000 penyertanan.

“Di sinilah nanti kita akan merangka garis masa persediaan dan bagaimana kita akan mantapkan jentera kita di peringkat negeri.
“Ramai juga pimpinan pusat akan turun dan ini akan memulakan siri kempen kita. Selepas itu kita akan ke peringkat cabang untuk mantapkan jentera di peringkat cabang pula,” katanya ditemui pemberita setibanya dari Kuala Lumpur, di Tanjung Aru, di sini, malam tadi.
Beliau yang baru diumumkan sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah disambut penyokong dan pemimpin PKR negeri setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam tadi.
Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim yang juga baru dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MPN Sabah.

Sementara itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata beliau yakin dapat mengukuhkan semula kerjasama semua pemimpin cabang PKR Sabah selepas kemelut kepemimpinan yang berlaku sebelum ini.
Katanya, beliau akan memanggil semua pemimpin cabang termasuk yang tidak menyokong perubahan kepemimpinan negeri sebelum ini pada mesyuarat pertama MPN yang akan dipengerusikannya dalam masa terdekat sebagai langkah merapatkan semula hubungan dan kerjasama.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR juga akan menyampaikan amanat kepada semua pemimpin PKR negeri pada perjumpaan yang dijadual pagi ini.
“Pagi esok (hari ini) kita akan mulakan mesyuarat MPN bersama presiden dan saya fikir beliau akan memberi amanat kepada kami bagaimana mendepani cabaran PRN17 nanti.
“Saya juga akan panggil mesyuarat MPN yanh pertama nanti dan ia juga membabitkan ketua cabang kedua belah pihak. Ini adalah masa untuk kita semua bekerjasama dan kehadiran presiden adalah untuk menyatukan dua kelompok ini supaya kita dapat bekerjasama.
“Saya fikir tiada masalah untuk kita bekerjasama, kami juga mengucapkan tahniah kerana bekas Pengerusi MPN, Datuk Sangkar Rasam dilantik sebagai ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan dia juga bertanggungjawab memastikan parti ini diperkasa di Sabah,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Sepanggar itu menyatakan kesyukurannya selepas episod isu pelantikan Pengerusi MPN selesai dengam aman.
“Bagi pihak kepemimpinan PKR Sabah, saya dab Peto merakamkan terima kasih kepada presiden yang memberi kepercayaan kepada kami mengemudi MPN Sabah untuk persediaan menjelang PRN17 yang dijangka tahun depan.
“Ini adalah tugas berat yang kami akan pikul dengan penuh tanggungjawab. Kita akan pastikan jentera PKR di Sabah akan bersedia,” katanya.
Kemelut kepemimpinan Sabah tercetus apabila 15 Ketua Cabang dari seluruh negeri menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Sangkar pada Mac lalu dan memintanya berundur.
Bagaimanapun, Sangkar menyerahkan perkara itu kepada presiden untuk membuat keputusan. – Info X