Search

942 bakal haji Sabah ke Tanah Suci tahun ini

June 1, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seramai 942 umat Islam dari Sabah bakal menunaikan ibadah haji pada tahun ini dengan penerbangan pertama bakal haji berlepas ke Tanah Suci Mekah awal pagi tadi.

Kumpulan pertama itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11.05 malam tadi.

Mereka kemudian berlepas ke Jeddah, Arab Saudi bersama kumpulan bakal haji dari Pulau Pinang pada jam 4.45 pagi tadi dan dijadualkan tiba di Tanah Suci pada jam 8.40 pagi tadi.

Sebelum berlepas dari KKIA, jemaah haji dari Sabah itu diraikan pada majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Anatarabangsa Kota Kinabalu (SICC).

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk.Ir Shahelmey Yahya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Arif.

Tun Juhar dalam ucapannya menasihati bakal haji dari Sabah untuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi di samping mematuhi segala arahan dan saranan Tabung Haji (TH).

Tun Juhar bersama Hajiji, Naim dan Shahelmey bersalaman bersama bakal haji Sabah yang berlepas ke Tanah Suci.

“Umat Islam di negeri Sabah harus bersyukur kerana TH sentiasa mengambil berat kebajikan jemaah haji dengan menganjurkan pelbagai kursus, serta menyediakan perkhidmatan dan kemudahan dengan infrastruktur yang baik, bermula di tanah air sehinggalah ke Tanah Suci.

“Jemaah haji tidak perlu bimbang, ikhlaskan niat dan berlapang dada dalam melaksanakan ibadah haji dengan sempurna, selain mematuhi semua nasihat dan arahan yang diberikan oleh pihak TH,” katanya.

Sementara itu, Mohd Naim berkata, penerbangan bakal haji Sabah adalah yang ke-77 daripada keseluruhan 100 penerbangan sewa khas haji.

Secara keseluruhan, katanya seramai 31,600 bakal haji dari Malaysia menunaikan ibadah berkenaan pada musim haji 1445H/2024M.

Beliau turut mengingatkan bakal haji sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri sepanjang berada di Tanah Suci.

Penerbangan bakal haji dari Sabah seterusnya akan berlepas pada malam ini, esok dan lusa. – Info X