KOTA KINABALU: Tindakan Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman menyamakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan Firaun dalam ucapannya yang tular baru-baru ini disifatkan sebagai biadap dan cetek akal.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata beliau menyifatkan demikian kerana perbuatan menyamakan GRS dengan Firaun adalah keterlaluan.
“Dia biadap dan tidak salah juga untuk saya katakan cetek akal, kerana apa? Kerana dia samakan komponen parti GRS sebagai Firaun.
“Takkan tidak kenal siapa Firaun dan apa sifat-sifat Firaun semasa memerintah tanah Mesir ketika sebelum Nabi Musa dilahirkan sehinggalah dia mati diazab Allah kerana mempersenda dan memperlekehkan ajaran yang dibawa Nabi Musa ketika itu.
“Firaun juga mungkar dan menganiaya nyawa yang tidak berdosa kerana membunuh semua bayi lelaki yang lahir selepas mempercayai kata-kata pendeta dan ahli nujum istana tentang ramalan kejatuhan kerajaannya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Nizam berkata, menyamakan Firaun dengan mana-mana pihak apatah lagi daripada mulut seorang pemimpin kepada pemimpin yang lain adalah tindakan keji dan mempamerkan betapa ceteknya pengetahuan seseorang.
Beliau menegaskan tindakan Azis itu yang tular dalam satu klip video baru-baru ini adalah sesuatu yang dilihat sebagai terdesak dalam meraih simpati.
“Bukan sekadar simpati, bahkan dia sebenarnya bermain dengan sentimen fitnah, berniat buruk dan mempersendakan sirah nabi yang kita semua sedia maklum tahu. Kata-kata yang dilontarkannya juga berbaur hasutan dan hasad dengki,” katanya.
Dalam pada itu, Nizam turut mengingatkan semua pihak supaya membuka minda dan celik hati dalam menilai serta memilih pemimpin.
“Adalah tidak wajar dalam ucapan sebegini dikaitkan dengan Nabi Musa dan lawan politik sebagai Firaun. Perjuangan Nabi Musa melawan Firaun amat tidak sama dengan perjuangan parti politik tertentu.
“Firaun jelas kufur malah mengaku Tuhan. Menyamakan perjuangan parti tertentu dengan perjuangan Nabi Musa dan lawan politiknya sebagai Firaun adalah amat bertentangan dengan akidah Islam dan sirah para Rasul.
“Kalau hal sirah agama, lebih-lebih lagi Islam, dia boleh gunakan sebagai modal untuk pusing cerita dan ‘gula-gulakan’ rakyat, saya yakin, akal dan emosinya juga tidak stabil dan tidak layak untuk berdiri sebagai seorang pemimpin,” katanya. – Info X