PAPAR: Lapan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di Kompleks Latihan dan Pemulihan OKU Kimanis berjaya memperoleh sijil kemahiran dalam Majlis Graduasi Sesi 2023 di Beringgis Beach Resort Papar, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Jais Asri.
Semua pelajar terbabit berjaya menamatkan latihan dalam kelas kemahiran cuci kereta yang dijadikan sebagai program rintis JPKA dengan kerjasama rakan strategik KK Auto Detailer Sdn Bhd iaitu satu inistiatif memberi kemahiran mencuci kereta kepada pelajar OKU di kompleks latihan ini.
Turut menerima penghargaan semasa majlis ini ialah rakan rakan strategik KK Auto Detailer Sdn Bhd.
Latihan elektif yang diberikan kepada pelajar OKU ini juga sebagai tambahan kepada latihan asas yang ditawarkan di pusat ini dan mula dilaksanakan selepas KK Auto Detailer Sdn Bhd mengutarakan idea bernas bagi membantu meningkatkan tahap kemahiran golongan OKU di sini.
Usaha yang dimasukkan ke dalam silibus pembelajaran ini dilihat mampu menambah kemahiran pelajar apabila menamatkan kursus di kompleks ini.
Pada masa sama dengan berbekalkan kemahiran ini juga pelajar boleh menjalani pekerjaan dalam bidang berkaitan dan terus bersaing dengan orang ramai terutamanya dalam bidang pekerjaan mencuci kereta. – Info X