KOTA KINABALU: Gangguan mendadak berpunca daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) menggagalkan rancangan Kerajaan Negeri untuk melancarkan secara rasmi program Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (Sabah-MM2H) yang sepatutnya pada 1 Jun lalu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew berkata, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sudah bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan.
Katanya, ia termasuk Jabatan Imigresen, polis dan Pejabat Dalam Negeri bagi menyelaraskan semua aliran kerja ke arah memastikan permohonan penyertaan Program Sabah-MM2H boleh diproses selancar mungkin.
“Pihak kami semua sudah bersedia untuk melancarkan program itu pada 1 Jun dan ramai yang sebenarnya tidak sabar untuk menghantar permohonan mereka. Malah, kami telahpun memuktamadkan kriteria untuk program itu tiga bulan lalu.
“Kami terkejut apabila MOTAC menggantung operasi semua ejen berlesen dalam memproses permohonan baharu dengan serta merta.
“Langkah yang tidak baik ini menjejaskan pelancaran program yang dimaksudkan itu seperti yang dirancang,” katanya dalam satu kenyataan bagi menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap kejadian yang tidak dijangka itu.

Menurut Liew, MOTAC mengeluarkan pekeliling bertarikh 27 Mei 2024 kepada semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk menghentikan operasi mereka.
“Berikutan itu, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) menulis surat kepada MOTAC pada 28 Mei lalu untuk menjelaskan segala persiapan kami bagi merasmikan program Sabah-MM2H selewat-lewatnya pada 1 Jun.
“Pada masa yang sama, kami meminta semakan semula keputusan MOTAC untuk menggantung operasi ejen berlesen, terutamanya ejen Sabah, yang sebahagian daripada mereka masih memegang lesen sah yang diluluskan dan dikeluarkan oleh MOTAC.
“Jika gagal, kementerian saya akan bertindak sewajarnya untuk melantik dan memberi kuasa kepada wakil negeri bagi memproses permohonan bakal pemohon Program Sabah-MM2H,” katanya.
Pada 31 Mei lalu, katanya MOTAC menjawab dengan cara pekeliling kepada KePKAS yang menyatakan bahawa tiada sesiapa dibenarkan memproses permohonan baharu untuk Program Sabah-MM2H sehingga dimaklumkan selanjutnya oleh MOTAC. – Info X