Search

Sembilan individu tanpa dokumen sertai perhimpunan ditahan

June 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis menahan sembilan individu tanpa dokumen pengenalan diri, dipercayai menyertai Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah anjuran kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, petang tadi.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, mengesahkan semua individu terbabit ditahan selepas mereka hadir ke tempat perhimpunan berkenaan.

“Sebaik mereka beredar menaiki kenderaan, polis telah membuat pemeriksaan di dalam van dinaiki mereka dan didapati sembilan individu tidak memiliki dokumen.

“Semua mereka sudah dibawa ke balai polis dan dalam proses dokumentasi lagi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Perhimpunan yang bermula dengan perarakan dari hadapan kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, disertai kira-kira 80 peserta terdiri daripada mahasiswa wakil komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner, Kasim Muda ketika berunding dengan wakil Perhimpunan Aman #KamiMahuAir di Menara Kinabalu.

Sementara itu, Kasim berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap kumpulan perhimpunan berkenaan.

“Kita juga akan rujuk dengan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sehingga kini beberapa peserta perhimpunan masih berkumpul di hadapan Menara Kinabalu dengan dikawal oleh pasukan polis. – Info X