Search

Perhimpunan #KamiMahuAir ada motif tersembunyi, kata Joniston

June 15, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kumpulan Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah dilihat mempunyai motif tersembunyi dan tidak ikhlas apabila enggan menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan negeri, semalam.

Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai, berkata kerajaan negeri sudah bermurah hati mengakui keprihatinan atau kebimbangan yang dibangkitkan kumpulan berkenaan berhubung isu air yang sedang berlaku.

Katanya, kehadiran Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya untuk menemui penganjur perhimpunan itu dan menerima memorandum mereka bagi pihak Ketua Menteri menunjukkan keterbukaan kerajaan negeri terhadap ketelusan dan libat urus awam.

“Bagaimanapun, kumpulan itu bertegas untuk menyerahkan memorandum secara terus kepada Ketua Menteri, seolah-olah ada motif tersembunyi, selain tidak ikhlas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kumpulan berkenaan yang menamatkan perhimpunan di hadapan Menara Kinabalu yang menempatkan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), pagi tadi gagal menyerahkan memorandum berikutan keengganan mereka memberikannya kepada wakil kerajaan negeri.

Joniston yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata sokongan terbuka sayap pemuda Parti Warisan atau Wira Warisan terhadap perhimpunan berkenaan sebelum ini juga menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar penganjurannya.

“Adalah penting untuk mengambil kira sama ada perhimpunan ini benar-benar mahu menyelesaikan isu air atau dibuat atas dorongan politik bagi merendahkan kerajaan negeri.

“Beberapa peserta perhimpunan juga menujukan kata-kata yang tidak baik kepada Ketua Menteri, menunjukkan ada agenda yang dijana oleh politik berbanding keprihatinan sebenar terhadap isu air.

“Kehadiran individu tanpa dokumen menyertai perhimpunan itu juga membimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut,” katanya merujuk kepada penahanan sembilan individu tanpa dokumen oleh pihak polis, semalam.

Sementara itu, Joniston menegaskan apa yang penting ialah kerajaan negeri mengakui cabaran isu air yang sudah lama berlarutan dan usaha mengatasinya sedang dilaksanakan.

“Ia adalah masalah legasi sejak pentadbiran yang lalu, termasuk ketika Warisan berkuasa, tapi kerajaan negeri yang ada sekarang kekal komited untuk mencari penyelesaian yang berkesan.

“Dana yang signifikan sudah disediakan untuk menambah baik bekalan air, termasuk di kawasan luar bandar tetapi penambahbaikan ini tentunya mengambil masa,” katanya.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri itu, berkata tatkala kerajaan GRS menghormati hak mengadakan perhimpunan aman, ia juga menggesa kerjasama yang membina bagi mengatasi isu kritikal itu bersama.

“Kumpulan tertentu mungkin terus menganjurkan demonstrasi atas alasan menegakkan hak demokrasi tetapi komitmen kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu air bersama masalah lain seperti elektrik dan jalan raya akan terbukti dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X