Search

Urus kewangan dengan cekap dan telus – Arifin

July 6, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan semua agensi Islam di Sabah diingatkan supaya menitikberatkan pengurusan kewangan yang cekap dan telus.

Menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata perkara itu penting memandangkan PBNS adalah agensi yang mengurus dana berkaitan undang-undang Islam.

Katanya, semua terimaan PBNS juga perlu diagihkan mengikut kehendak syarak dan peraturan kewangan yang ditetapkan sejajar amalan tatakelola kerajaan yang menekankan aspek ketelusan, akauntabiliti, keterangkuman dan keberkesanan.

“Perkara ini menjadi asas penting bagi memastikan semua terimaan diagihkan menepati dengan kehendak syarak dan peraturan kewangan yang ditetapkan.

“Sebagai salah satu agensi Islam di Sabah yang menjaga amanah dana Sedekah, Fidyah, Wang Tidak Patuh Syariah, Harta Pusaka, Harta Luqatah dan Denda Jenayah Syariah, adalah penting bagi PBNS memastikan semua terimaan diagihkan menepati kehendak syarak dan peraturan kewangan yang ditetapkan.

“Perancangan tatakelola yang konkrit dapat menatijahkan ketelusan, akauntabiliti, keterangkuman dan keberkesanan yang kesemua ini menyumbang kepada wujudnya satu pentadbiran yang madani, demokratik dan mampu berfungsi dengan baik.

“Tatakelola yang baik bukanlah terhasil dengan sendiri atau secara kebetulan tetapi ianya adalah perancangan dan hasil daripada usaha yang bersungguh-sungguh dalam merealisasikan perancangan itu,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Ahli Lembaga Pengarah dan Penyerahan Sijil Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2022 PBNS, di sini, malam tadi.

Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin; Pengerusi PBNS, Datuk Omar Raisul As Salam Syah Sulaiman Omar; Ketua Pegawai Eksekutif PBNS, Ismail Mohd Adnan dan Timbalan Pengarah Audit Negeri Sabah, Halimuddin Chongge.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, berkata PBNS hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan dalam melaksanakan fungsi dan peranannya.

Katanya, agensi itu juga perlu mengenal pasti faktor atau elemen yang tidak mendorong kepada kecekapan dan keberkesanan khususnya aspek perakaunan serta mengambil berat pendapat dan nasihat Audit Negara.

“Di samping itu, PBNS perlu menerokai peluang yang boleh dijalinkan bersama-sama dengan agensi lain sama ada persekutuan, negeri dan juga sektor korporat dalam melaksanakan perkhidmatannya di Sabah.

“Selain itu, PBNS hendaklah meningkatkan mutu perkhidmatannya dalam mentadbir dana awam yang diterima dengan meningkatkan lagi usaha dan kutipan serta mengembangkan struktur agihan,” katanya.

Katanya, beliau juga sentiasa menekankan kepada PBNS dan agensi Islam yang lain agar mempelbagaikan skim bantuan yang memberi impak besar kepada komuniti melalui kerjasama dengan pihak berkepakaran dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Perkara itu, katanya diterjemahkan oleh PBNS dengan melaksanakan projek Corporate Social Responsibility (CSR) seperti pembinaan mini loji rawatan air dan pemasangan tenaga solar melalui kerjasama dengan pelbagai sektor dan agensi seperti Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS, Yayasan Nur Jauhar, Institusi Perbankan dan Agensi LAKSANA.

Pada majlis itu, Arifin menyerahkan watikah pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PBNS, selain menyaksikan penyerahan sumbangan PBNS kepada lima tahfiz dan madrasah yang setiap satu menerima RM5,000. – Info X