KOTA KINABALU: Pelaksanaan beberapa projek pembangunan di Penampang, termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dipercayai antara punca banjir buruk yang berlaku di Penampang, akhir bulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Darell Leiking, berkata ada kemungkinan projek itu memburukkan situasi banjir di Penampang, selain projek lain yang menjejaskan aliran air.
Katanya, isu alam sekitar juga dipercayai menjadi punca seperti kesan pembinaan berhampiran perumahan Taman Vista Kiranau, Penampang yang dikenal pasti antara lokasi terjejas teruk akibat banjir berkenaan.
“Ada struktur besi yang dikesan menghalang aliran air Sungai Moyog di sepanjang kawasan yang berlaku aktiviti pemotongan bukit.
“Adakah langkah mitigasi banjir dilaksanakan dalam projek ini? Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mengutamakan kebajikan awam lebih tinggi berbanding kepentingan kontraktor,” katanya pada Persidangan DUN Sabah, semalam.
Katanya, banjir buruk di daerah itu menunjukkan perlunya pendekatan pencegahan banjir yang lebih berkesan dilaksanakan segera demi kepentingan rakyat Penampang.

Jelasnya, jika banjir buruk di Kuala Lumpur pada 2022 menyebabkan kerugian mencecah RM2 bilion berdasarkan data kerajaan, namun kerosakan di Penampang tidak dapat ditentukan dalam bentuk kewangan.
“Kerugian dialami sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh individu dan perniagaan termasuk gangguan akses kesihatan dan aktiviti ekonomi di Donggongon,” katanya.
Timbalan Presiden Warisan itu turut membangkitkan kelemahan tindak balas kerajaan dalam menangani situasi banjir.
Beliau memberi contoh, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kekurangan kelengkapan yang perlu untuk menangani segera pembersihan selepas banjir, sebaliknya menyerahkan kepada kontraktor luar.
Beliau turut mengkritik perbelanjaan berulang kerajaan bagi pembaikan kerosakan banjir, sebaliknya menggesa ke arah pelaburan pencegahan banjir yang lebih proaktif. – Info X