Search

37 mangsa banjir dipindahkan di Beaufort

July 11, 2024

Info X Reporters

BEAUFORT: Seramai 37 penduduk daripada 14 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Suasa, di sini, akibat banjir yang melanda beberapa kampung di daerah ini sejak kelmarin.

PPS terbabit dibuka sejak jam 8 malam tadi bagi menempatkan sementara penduduk Kampung Suasa yang rumah mereka dinaiki air berikutan situasi banjir yang dilihat semakin naik.

Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah, banjir berlaku apabila air Sungai Padas melimpah akibat hujan lebat berterusan di daerah Zon Pedalaman yang menyebabkan paras air meningkat.

Antara kawasan terjejas banjir ialah Kampung Bakalau, Batu 60, Balibata, Binunuk, Lago, Suasa dan Bangkalalak.

Banjir di daerah ini biasanya berlaku disebabkan hujan lebat di hulu Sungai Padas, khususnya di daerah Tenom dan Keningau yang menyebabkan air sungai melimpah dan membanjiri kawasan tanah rendah. – Info X