Search

Eksesais Keris Strike beri perspektif baru pertahanan di pantai timur negara

July 12, 2024

Info X Reporters

KUDAT: Eksesais Keris Strike siri 29/2024 dilihat mampu memberi perspektif baru kepada dimensi pertahanan pantai timur Malaysia.

Eksesais yang sebelum ini dilaksanakan secara bilateral tahunan diantara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan United States Army Pacific Command (USARPAC).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, namun kali ini ia membawa kelainan apabila dilaksanakan secara trilateral dengan pembabitan tambahan dari Tentera Darat Australia buat kali pertama pada tahun ini.

“Saya percaya melalui kerjasama dan latihan dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia akan memberi perspektif baru kepada dimensi pertahanan pantai timur Malaysia melalui perkongsian dan pendedahan kepada pelbagai kepakaran dan teknologi terkini.

“Ia termasuklah penggunaan drone untuk meningkatkan pengawasan dan kesiagaan pertahanan negara di kepulauan Borneo seterusnya memastikan keselamatan dan kestabilan di rantau ini terjamin,” katanya semasa penutupan eksesais di Pantai Sikuati Kudat, semalam.

Bercakap lanjut beliau berkata, pelaksanaan Eksesais Keris Strike siri 29/2024 bermula 28 Jun lalu di sekitar Kota Belud dan berakhir di Kudat dengan fasa serangan akhir oleh battle group.

“Kelainan perlaksanaan Eksesais Keris Strike tahun ini ialah buat pertama kalinya melibatkan pasukan-pasukan dalam pemerintahan medan timur dan diadakan di Borneo khususnya di Sabah.

“Ini bertujuan memberi peluang dan pengalaman baharu kepada perserta eksesais beroperasi dalam keadaan muka bumi yang pelbagai seperti Sabah yang mempunyai pantai yang luas dan muka bumi yang bergunung-ganang.

“Perlaksanaan eksesais in juga dapat meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat setempat terhadap kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat khasnya dalam memastikan kedaulatan Sabah dan Sarawak terutamanya di kawasan ESSzone selamat dan bebas dari sebarang bentuk ancaman sama ada tradisional dan bukan tradisional,” katanya.

Muhammad Hafizuddeain menyampaikan cendera kenangan Eksesais Keris Strike siri 29/2024 kepada Jarrard.

Beliau berkata, Eksesais Keris Strike pada siri kali ini adalah satu manifestasi kerjasama aktif antara Malaysia, Amerika Syarikat dan Australia meningkatkan kebolehoperasian dan pemahaman semua tentera negara terlibat melalui standard operating procedure (SOP) yang akan meningkatkan keupayaan tentera negara peserta sebagai sebuah pasukan.

“Eksesais ini turut memberi peluang kepada TDM untuk menilai dan menambah baik doktrin dan keperluan aset ketenteraan yang sesuai dari semasa ke semasa di samping mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan dan hubungan antarabangsa bersama negara terlibat,” katanya.

Muhammad Hafizuddeain berkata, eksesais ini dilaksanakan seramai 3,141 orang melibatkan pegawai dan anggota tentera iaitu 283 pegawai dan 2,135 anggota TDM, 617 USARPAC, 136 RCB.

“Sepanjang eksesais dijalankan, pelbagai aktiviti perkongsian pengetahuan dan kepakaran iaitu latihan merentas (ctx) melibatkan kepakaran arborne, subject matter expert exchange (smee) dengan topik seperti multi domain operation, CBRNe, operasi ofensif, eksesais antara anggota (staffex) melibatkan pendedahan kepada fungsi staf dalam operasi, gabungan tembakan (calfex) melibatkan aset artileri, amour, mekanise dan senjata bantuan batalion.

“Turut diadakan ialah latihan lapangan (ftx) melibatkan, fasa mara oleh battle group formasi 5 briged dari simpang Kota Belud sehingga Sikuati sejauh 114 kilometer dan penamat eksesais adalah fasa serangan, air assault dan airbone operation keatas objektif di Sikuati,” katanya.

Tambahnya, pelbagai aset juga dipamerkan semasa hari terbuka bersama masyarakat antaranya helikopter Black Hawk (UH-60l) dan (HH-60l), Lipan Bara (AV4), Helikopter Chinook, Gempita, Helikopter A109 loh (Agusta) dan pelbagai jenis kenderaan darat lain.

“Saya melihat perlaksanaan Eksesais Keris Strike ini dapat memberi manafaat kepada para peserta yang terlibat khususnya warga ATM dan TDM khasnya melalui perkongsian pelbagai kepakaran dan pengetahuan melibatkan perlaksanaan eksesais dalam multi domain operation.

“Pemilihan lokasi di Sabah ini memberi suasana baru bagi perserta memahami isu-isu geostrategik yang berlaku di Laut China Selatan dengan pelbagai bentuk ancaman keselamatan.

“Melalui kerjasama strategik seperti latihan ketenteraan bersama pelbagai negara dapat meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa dalam mengekalkan keamanan di rantau ini,” katanya.

Beliau juga menekankan eksesais ini berjaya mencapai objektif yang dikehendaki dan berbangga dengan prestasi warga TDM yang mempamerkan tahap profesionalisma yang dikehendaki dari aspek mental dan fizikal.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu pada ketika ini (musim tengkujuh) juga tidak mematahkan semangat mereka untuk memberikan komitmen yang terbaik.

“Sepanjang eksesais berlangsung tidak berlaku kemalangan serius hanya kemalangan kecil melibatkan sebuah lori tiga tan dari Markas Staf Stesyen Lok Kawi yang melanggar pembahagi jalan di Tuaran pada 5 Julai lalu dengan anggota terlibat hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kabinet juga meluluskan agar Eksesais Keris Strike ini dilaksanakan secara trilateral atau multilateral pada eksesais yang akan datang.

“Dengan kepesatan teknologi dan pertukaran persekitaran operasi yang sentiasa berubah, eksesais seumpama ini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai platform untuk pegawai dan anggota TDM berdaya saing serta mempunyai kepakaran setanding serta dapat menguasai pelbagai teknologi terkini,” katanya.

Hadir sama semasa penutupan ialah Timbalan Komanding Jeneral Amerika Syarikat Pasifik (USARPAC) Leftenan Jeneral James (Jamie) B Jarrard Dan Komander 1 Bahagian Australia, Major General Ash Collingburn, Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman. – Info X