TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot penumpang tempatan disyaki ‘runner minyak’ yang membawa muatan bahan api tanpa sebarang permit, semalam.
Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, bot peronda APMM yang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Tiris mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan bergerak laju dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemeriksaan ke atas bot penumpang yang dikendali oleh seorang remaja lelaki tempatan berusia 21 tahun itu mendapati terdapat enam tong bahan api jenis petrol dan diesel anggaran 160 liter dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.
“Bot serta muatan itu dirampas seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen JPDS 2002.
“Semua barangan termasuk bot penumpang, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, modus operandi yang digunakan oleh ‘runner minyak’ dengan membawa bahan api berkenaan dalam kuantiti yang kecil secara berulang.

“Ia perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang-barang kawalan berkenaan ke negara jiran.
“Penguatkuasaaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Aset-aset ronda APMM akan sentiasa bersiap sedia diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan NG999,” katanya. – Info X