Search

713 atlet bawa cabaran Sabah ke SUKMA Sarawak

July 25, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah menghantar seramai 713 atlet dan 235 pegawai sukan, selain 93 pegawai sokongan termasuk pasukan perubatan untuk menggalas misi negeri ke Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 di Sarawak yang bermula 13 Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin, berkata secara keseluruhan kontinjen Sabah diperkuat seramai 1,041 orang dengan diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun sebagai `Chief De Mission’.

Katanya, Sabah mengambil peluang menghantar lebih banyak penyertaan dan menyertai lebih banyak acara dipertandingkan dalam SUKMA Sarawak kali ini berikutan kos yang lebih rendah berbanding SUKMA di negeri lain berikutan kedudukan kedua negeri yang berjiran.

“Mengambil kira kos perjalanan yang lebih murah berbanding penyertaan kita setiap kali SUKMA diadakan di Semenanjung, Kementerian Belia dan Sukan Sabah menggunakan segala kelebihan yang ada untuk memberikan peluang seluas-luasnya kepada semua persatuan yang layak bertanding ke negeri jiran kita.

“Tahun ini, Sabah akan bertarung dalam 408 acara atau kira-kira 84 peratus daripada jumlah keseluruhan 488 acara yang dipertandingkan pada SUKMA di Sarawak kali ini.

“Daripada 408 acara itu, atlet Sabah akan menyertai 197 acara kategori lelaki, 178 acara kategori wanita dan 33 acara kategori campuran. Secara keseluruhan, kita menghantar seramai 713 atlet yang terdiri daripada 373 atlet lelaki dan 340 atlet wanita,” katanya pada sidang media SUKMA Sarawak 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Fairuz Renddan.

Ellron berkata, daripada 713 atlet itu, seramai 390 atlet dengan masing-masing 204 atlet lelaki dan 186 atlet wanita atau mewakili 55 peratus atlet yang terpilih ke SUKMA kali ini adalah atlet yang berjaya dilahirkan melalui penganjuran Sukan Sabah atau SAGA 2023 di Kota Kinabalu.

Katanya, purata itu meningkat 16 peratus berbanding ketika Sabah menyertai SUKMA 2022 yang menyaksikan hanya 182 atau 39 peratus daripada 466 atlet mewakili Sabah ketika itu, dilahirkan melalui penganjuran Sukan Sabah 2019 di Keningau.

Sementara itu, katanya sasaran kutipan pingat pada SUKMA kali ini masih sama seperti sebelum ini, iaitu untuk memenangi 40 pingat emas.

“Rekod terbaik penyertaan Sabah ialah pada SUKMA Ke-19 di Perak pada 2018 yang mana atlet Sabah berjaya membawa pulang 33 pingat emas, 27 pingat perak dan 46 pingat gangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Ellron berkata Jawatankuasa Induk SUKMA Sabah menggugurkan penyertaan pasukan catur ke temasya SUKMA Sarawak berikutan masalah teknikal pendaftaran peserta oleh pihak persatuan.

Berikutan itu, katanya Sabah hanya menyertai 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya itu kali ini.

Selain catur, Sabah juga tidak menghantar wakil bagi sukan Kabaddi kerana belum ada persatuan dan program pembangunan atlet untuk sukan itu di negeri ini. – Info X