Search

Tiada yang mustahil dalam politik, kata Hajiji

August 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiada yang mustahil dalam politik, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, merujuk kepada kemungkinan hubungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikukuhkan semula.

Katanya, perkara itu tidak mustahil memandangkan ketika ini masih ada wakil BN dan UMNO dalam kerajaan negeri yang memegang jawatan menteri, pembantu menteri dan pengerusi badan berkanun atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jelasnya, walaupun ada pemimpin UMNO / BN yang menganggap diri mereka sebagai pembangkang, namun kerajaan pimpinannya tetap mengekalkan sebahagian daripada pemimpin mereka.

Beliau berkata, atas sebab itu juga kerajaan negeri pimpinannya sekarang disebut sebagai kerajaan GRS – Pakatan Harapan (PH) Sabah Plus kerana mengambil kira kehadiran pemimpin PH, UMNO dan BN.

“Sekarang kita dalam gabungan GRS tetapi dalam kerajaan kita ada parti bersama kita iaitu PH dan juga kita sebut Plus kerana ada wakil rakyat BN dan UMNO menyokong kerajaan.

“UMNO ada dalam kerajaan sekarang, inilah uniknya Sabah. Ada menterinya, Shahelmey (Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya) walaupun dia digantung.

“Selain itu, tiga pembantu menteri UMNO / BN masih dalam kerajaan dan ramai lagi pengerusi badan berkanun dan GLC kerajaan,” katanya ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di sini, hari ini.

Tiga pembantu menteri mewakili UMNO / BN dalam barisan Kabinet negeri ketika ini ialah Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andy Muhammad Suryady Bandy; Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain dan Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Harun Durabi.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata situasi itu yang dimahukan kerajaan negeri dalam usaha mengekalkan perpaduan dan kestabilan kerajaan untuk membangunkan Sabah.

“Inilah yang kita mahu, jangan gaduh-gaduh, kita mahu pastikan kita sama-sama bangunkan negeri dan kita pastikan perpaduan rakyat pelbagai kaum terus beri kebaikan kepada kita semua,” katanya.

Ditanya mengenai pemimpin UMNO / BN yang menganggap parti itu sebagai pembangkang, Hajiji berkata perkara itu terpulang kepada pemimpin terbabit.

Sementara itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata parti komponen GRS itu setakat ini dianggotai hampir 300,000 ahli dan dijangka melepasi angka berkenaan menjelang perhimpunan agung parti itu pada November depan.

Katanya, parti itu akan memulakan mesyuarat peringkat bahagian pada 17 Ogos ini hingga akhir September depan, manakala mesyuarat peringkat cawangan sudah diadakan sebelum ini. – Info X