Search

Ewon jelaskan 3 pendirian UPKO berkaitan hak Sabah

August 11, 2024

Info X Reporters

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggariskan tiga pendirian penting parti itu berhubung hak Sabah dalam perlembagaan dan perkara yang dipersetujui dalam MA63.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata pendirian pertama UPKO berkaitan hak kelayakan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri ini yang tidak boleh disamakan dengan peruntukan tahunan lain.

Katanya, kelayakan 40 peratus itu adalah hak Sabah yang berlainan dengan peruntukan tahunan pembangunan dan emolumen yang disediakan kerajaan Persekutuan di Sabah.

“Kedua, wakil Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat harus mencapai satu pertiga dan ketiga, kita mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meneliti semula pindaan Perlembagaan Persekutuan dan rang undang-undang (RUU) yang memberi implikasi kepada Sabah dan tidak dibawa untuk persetujuan DUN,” katanya.

Ewon memalu gong sebagai tanda perasmian Konvensyen UPKO 2024.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen UPKO 2024 di Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang, di sini, hari ini.

Ewon berkata, setiap pindaan dan RUU yang membawa implikasi kepada Sabah harus mendapat persetujuan Sabah, iaitu kerajaan negeti DUN.

Katanya, ketiga-tiga pendirian UPKO itu akan kekal sampai bila-bila.

Terdahulu, dalam ucapan dasarnya sempena konvensyen itu, Ewon menyatakan pendirian tegas UPKO menuntut pemulangan semula semangat representasi Dewan Rakyat melalui peruntukan tidak kurang satu pertiga kerusi kepada Sabah dan Sarawak.

Ewon bersama pemimpin dan perwakilan pada Konvensyen UPKO 2024.

“UPKO menuntut pemulangan semula semangat representasi Dewan Rakyat melalui peruntukan tidak kurang daripada satu pertiga kerusi Dewan Rakyat harus datang daripada Sabah dan Sarawak.

“Ini akan menjadi pendirian tegas dan pendirian rasmi UPKO sepanjang masa,” katanya. – Info X