LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Telisai, di sini, malam tadi.
Mayat Mohd Qalish Abdul Jumain ditemui rentung di ruang bilik rumah berkenaan oleh anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.46 malam.
Katanya, sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lapan anggota bomba digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran dilaporkan membabitkan sebuah rumah terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran tiga pancutan dari sumber air jentera dan bili bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal jam 10.54 malam dan terdapat seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung pada 10.59 malam di ruang bilik.
“Pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada jam 12.45 tengah malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X