Search

Pucuk pimpinan tentukan rakan kerjasama PRN17 – Awang Aslee

August 22, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Terserah kepada pucuk kepemimpinan UMNO untuk menentukan rakan kerjasama bagi membentuk gabungan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Itu pandangan Ketua UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat, sambil berkata tumpuan ketika ini ialah memperkukuhkan parti, mendekati rakyat dan mengatur gerak kerja ke arah pilihan raya.

Jelasnya, soal memilih gabungan kerjasama bagi menghadapi PRN akan datang tidak akan mengganggu fokus utama UMNO Sabah untuk terus bekerja mendekati rakyat.

“Soal parti gabungan mana yang akan bekerjasama dengan UMNO Sabah kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Apa yang penting kita terus fokus untuk memperkukuhkan parti, mendekati rakyat dan mengatur gerak kerja serta strategi parti untuk mencapai kemenangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Majlis Taklimat Presiden bersama perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di PWTC Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam amanatnya, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri antara lain berkata tumpuan UMNO terarah ke Sabah selepas selesai Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan minggu lalu dan PRK Mahkota di Johor tidak lama lagi.

Awang Aslee bersalaman dengan Ahmad Zahid di PWTC Kuala Lumpur.

Awang Aslee berkata, tumpuan UMNO Pusat terhadap Sabah memberi semangat kepada pemimpin dan ahli UMNO di negeri ini untuk berjuang memastikan kemenangan calon parti itu pada PRN17 nanti.

“Sikap cakna presiden menjadi pendorong semangat kepada kami (UMNO Sabah) untuk terus berjuang.

“Sesungguhnya kami amat menghargainya karana ia melambangkan rasa tanggungjawab beliau (Ahmad Zahid) sebagai presiden kepada Umno khususnya di Sabah,” katanya.

Awang Aslee yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Beauforf berkata, amanat Presiden UMNO itu adalah satu penerapan budaya kerja berpasukan yang menjadi kekuatan UMNO untuk berdepan dengan cabaran.

“UMNO Sabah akan terus bekerja keras dengan menjadikan kemenangan BN dalam PRK Nenggiri baru-baru ini sebagai obor semangat perjuangan,” katanya. – Info X