Search

PKR Sabah nafi halang hubungan Warisan-UMNO

August 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: PKR Sabah menyifatkan tuduhan yang mengatakan parti itu menjadi penghalang kepada kerjasama Parti Warisan dan UMNO untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) sebagai tidak berasas.

Sumber PKR Sabah berkata perkara itu tidak benar, selain sengaja direka pihak tertentu untuk melaga-lagakan parti dalam Kerajaan Perpaduan memandangkan Warisan juga adalah sebahagian daripada parti yang membentuk kerajaan persekutuan.

Katanya, andaian bahawa perkara itu berlaku berdasarkan ketiadaan wakil pemimpin Warisan yang kononnya tidak dijemput menghadiri Himpunan Perdana Rakyat anjuran PKR Sabah pada 4 Ogos lalu adalah salah.

Sebaliknya, sumber berkenaan berkata semua parti di bawah Kerajaan Perpaduan, termasuk Warisan dijemput menghadiri himpunan itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PKR menafikan dakwaan yang mengatakan PKR Sabah tidak menjemput Warisan untuk menghadiri himpunan itu.

“Sumber urusetia pelaksana majlis Himpunan Perdana Rakyat pada 4 Ogos lalu menyatakan bahawa PKR sudah menghantar surat untuk menjemput semua pemimpin parti, cuma mereka yang tidak hadir.

“Jadi, dakwaan mengatakan PKR menjadi penghalang kerjasama Warisan dan UMNO adalah tidak berasas sama sekali, lebih-lebih lagi dengan hanya bersandarkan ketidakhadiran pemimpin Warisan pada Himpunan Perdana Rakyat tempoh hari,” katanya, di sini, hari ini.

Sumber PKR Sabah itu mengulas laporan diterbitkan sebuah portal yang mendakwa PKR menjadi penghalang jalinan kerjasama di antara Warisan dan UMNO bagi menghadapi PRN17 yang dijangka tahun depan.

Laporan itu berdasarkan sumber daripada Warisan yang menganggap PKR sebagai ‘bermuka-muka’ setiap kali bertemu Warisan memandangkan PKR mempunyai hubungan ‘amat baik’ dengan UMNO di peringkat Persekutuan.

Sumber Warisan itu menuduh keadaan berkenaan kemungkinan mendorong PKR mempengaruhi keputusan UMNO mengenai soal kerjasama dengan Warisan yang dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sementara itu, sumber PKR Sabah menyebut salinan surat jemputan yang ditujukan kepada pemimpin Warisan untuk menghadiri Himpunan Perdana Rakyat pada 4 Ogos lalu masih ada dalam simpanan.

Pada himpunan itu, selain pemimpin PKR dan Pakatan Harapan (PH), turut hadir ialah pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) termasuk Ketua Menteri selaku pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor dan pemimpin UMNO Sabah yang diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin. – Info X