KOTA KINABALU: Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, berkata MN Sabah yang didakwa dibubarkan oleh pengerusinya kelmarin, sebenarnya tidak boleh dibubarkan.
Katanya, Pengerusi MN Sabah, Jismit Japong tiada kuasa membubarkan MN Sabah kerana pelantikan ahli jawatankuasa (AJK) dibuat oleh MN Pusat.
Berikutan itu, Annuar berkata MN Sabah masih lagi wujud dan berfungsi seperti biasa di bawah AJK yang kekal bersama badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Jelasnya, tiada sesiapa mempunyai kuasa membubarkan MN Sabah kerana pelantikan AJK peringkat negeri dibuat oleh MN Pusat dan bukannya oleh pengerusi MN negeri.
“Apa yang penting sebenarnya ialah MN Sabah tidak dibubarkan kerana tiada siapa yang ada kuasa untuk membubarkannya.
“Jawatankuasa peringkat negeri dilantik oleh MN pusat dan ia tidak boleh bubar sesiapa, tapi yang penting sekarang ini AJK masih ada.
“Saya bersikap terbuka dan sedia jumpa AJK. MN Sabah masih diteruskan macam biasa,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen PAS Sabah, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Jismit meletak jawatan dan membubarkan MN Sabah yang didakwa disertai seramai 30 AJK NGO itu di negeri ini.
Jismit mendakwa peletakan jawatan serta-merta itu sebagai tanda tidak berpuas hati terhadap layanan MN Pusat, termasuk presidennya yang didakwa tidak adil.
Sementara itu, Annuar berkata, tindakan dikaitkan dengan MN Sabah itu hanya membabitkan soal individu dan bukannya organisasi itu secara keseluruhan.
“Kalau ada individu tertentu, mungkin atas sebab sendiri kerana ini badan sukarela, NGO, bukannya parti politik.
“Apa yang penting ialah MN membuat khidmat, tapi semalam sudah disahkan timbalan pengerusi mahu meneruskan, begitu juga naib pengerusi MN Sabah dan ramai lagi AJK yang mahu teruskan,” katanya.
Annuar berkata, kenyataan Jismit bahawa MN Sabah hilang kepercayaan terhadap beliau lebih bersifat politik dan menggambarkan cubaan untuk menjadikan MN sebagai saluran politik.
Jelaasnya, MN kekal sebagai sebuah NGO yang menekankan amalan kesatuan, saling menyayangi dan hormat-menghormati serta menolak untuk dijadikan badan politik.
“Sebenarnya, dua minggu lalu Pengerusi MN Sabah hantar minit mesyuarat kepada saya mencadangkan untuk MN menjadi Parti Muafakat Nasional,” katanya.
Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak boleh diterima kerana MN adalah sebuah NGO. – Info X