Search

Mayat lelaki hilang ditemui tidak sempurna, dipercayai dibaham buaya

September 5, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di sungai di sebuah ladang di sini, semalam ditemukan dalam keadaan tidak sempurna disyaki dibaham buaya, pagi tadi.

Mayat Brono Kamilgs Nahak, 25, ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jam 10.45 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan disambar buaya.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sebaik menerima panggilan jam 6.28 pagi tadi.

Katanya, jarak lokasi kejadian dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan kira-kira 78 Kilometer.

Mayat mangsa ditemui terapung kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan disambar buaya di Kinabatangan. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba di lokasi, operasi pencarian dijalankan dan pada 10.45 pagi, mangsa berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat.

“Mangsa ditemui terapung pada jarak kira-kira satu kilogram dari lokasi mangsa disambar buaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi ditamatkan pada jam 12.53 tengah hari tadi,” katanya.

Pasukan bomba bersama polis dan penduduk kampung mengangkat mayat mangsa yang ditemui terapung di sungai di kawasan ladang di Kinabatangan. – Foto/Bomba

Terdahulu, mangsa dikatakan ke sungai berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, untuk memungut hasil ikan pada pukatnya.

Bagaimanapun mangsa tidak pulang sehingga petang dan rakan mangsa yang bimbang segera mencari di sekitar sungai namun hanya menemukan motosikal, pakaian serta pukat ikan yang koyak kemungkinan mangsa disambar sang bedal. – Info X