Search

Ejen pelancongan diberi amaran patuhi Akta Industri Pelancongan

September 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengeluarkan amaran kepada semua ejen pelancongan supaya mematuhi Akta Industri Pelancongan 1992 atau berdepan tindakan tegas termasuk lesen digantung jika gagal berbuat demikian.

Amaran itu susulan penahanan pelancong warga China dan Malaysia yang memasuki Perairan Tugayo Hunasan, Sitangkai, Tawi-Tawi, di selatan Filipina secara haram pada 1 September lalu.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, ejen pelancongan yang mengendalikan pelancong terbabit sudah disiasat.

“MOTAC sudah memulakan siasatan terhadap ejen pelancongan yang disyaki mengurus atau membawa penumpang berkenaan.

“Sekiranya siasatan yang dijalankan mendapati sebarang kesalahan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992, MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Ia termasuk menggantung, membatal lesen, mengkompaun atau mendakwa ejen pelancongan terbabit,” katanya.

Peringatan itu, katanya diberikan kepada semua ejen pelancongan di seluruh negara bagi memastikan semua pakej pelancongan dan pengaturan perjalanan mematuhi Akta Industri Pelancongan 1992, peraturan-peraturan di dalamnya dan undang-undang bertulis lain.

Jelasnya, pematuhan terhadap undang-undang penting untuk mengekalkan integriti industri pelancongan dan memastikan keselamatan serta keabsahan aktiviti pelancongan dalam kendalian setiap ejen pelancongan.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan laman rasmi Kumpulan Maritim Filipina (PNP Maritime Group), individu ialah lapan warga China dan tiga warga Malaysia.

Mereka dilaporkan ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di perairan Sitangkai, Tawi-Tawi, selatan Filipina.

Individu terbabit didapati memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju tanpa dokumen yang sah.

Difahamkan, pelancong terbabit sedang bercuti di Semporna dan didakwa memancing di perairan Malaysia sebelum bot yang dinaiki secara tidak sengaja memasuki perairan Filipina akibat cuaca buruk. – Info X