Search

Guna dokumen palsu mohon projek, pemilik syarikat didenda RM81,000

September 5, 2024

Info X Reporters

LABUAN: Seorang pemilik syarikat didenda RM81,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pilihan mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender projek bernilai RM331,488, di sini, empat tahun lalu.

Tertuduh, Kasmina Kassim, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga pada prosiding di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Labuan, hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh selaku pemilik syarikat didakwa dengan curang mengguna dan mengemukakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu penyata akaun Maybank Islamic Berhad atas nama syarikatnya.

Dokumen palsu itu dikemukakan kepada Perbadanan Labuan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan pada Ogos dan September 2020 bertujuan menipu untuk mendapatkan tender daripada kedua-dua pihak.

Ia berkaitan tender kerja-kerja perkhidmatan pembersihan kawasan perumahan di sekitar Wilayah Persekutuan Labuan dan kerja menyelenggara serta membaik pulih kerosakan ruang kerja di pejabat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dengan nilai keseluruhan RM331,488.

Berikutan itu, Kasmina berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun yang sama.

Beliau dituduh mengikut seksyen berkenaan pada 21 September tahun lalu, namun pada prosiding hari ini, Kasmina diberi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama.

Tertuduh kemudian mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berikutan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM27,000 atau empat bulan penjara bagi setiap pertuduhan, menjadikan denda keseluruhan sebanyak RM81,000.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa, Joe Randy Juster, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X