Search

Cadangan jadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 ditimbang semula

September 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri membuat keputusan menimbang semula cadangan untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027.

Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin, berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh jemaah menteri pada mesyuarat Kabinet, semalam.

Jelasnya, mesyuarat dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu memutuskan perkara berkenaan selepas meneliti dan menilai pelbagai aspek.

“Cadangan awal untuk Sabah menjadi salah satu penganjur bersama Sukan SEA 2027 masih memerlukan persetujuan jemaah menteri.

“Semalam, kami bersetuju bahawa Sabah akan meneliti dan menimbang semula cadangan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ellron berkata kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan untuk mendapatkan perincian mengenai cadangan penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

“Saya akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo secepat mungkin untuk membincang dan menjelaskan perkara ini secara terperinci.

“Hasil perbincangan dan maklumat terperinci berkaitan penganjuran sukan itu akan dibentangkan untuk pertimbangan jemaah menteri Sabah,” katanya.

Meskipun begitu, katanya kerajaan negeri menyambut baik hasrat kerajaan Persekutuan untuk menganjurkan temasya sukan serantau itu.

Katanya, Sabah tetap memberikan sokongan penuh dan bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan Sukan SEA 2027.

Semalam, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, mendedahkan kerajaan negeri tidak pernah membuat sebarang komitmen kewangan bagi penganjuran bersama Sukan SEA 2027.

Beliau juga menyatakan bahawa Kerajaan Sabah belum bersedia menjadi penganjur bersama temasya sukan berkenaan berikutan masalah kemudahan sukan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeo mengumumkan bahawa Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang bersetuju menjadi hos bersama Kuala Lumpur dengan kos keseluruhan mencecah RM700 juta berdasarkan kos Sukan SEA 2017.

Daripada jumlah itu, Sarawak bersetuju menampung 50 peratus iaitu lebih RM300 juta, manakala Sabah RM100 juta dan Pulau Pinang pula RM15 juta. – Info X