Search

Jaga kesihatan, anggap nilainya mahal – Redonah Bahanda

September 9, 2024

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Masyarakat diingatkan supaya menganggap kesihatan sebagai sesuatu yang mahal dan wajar dijaga sebaik mungkin sepanjang masa.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Redonah Bahanda berkata nilai kesihatan sangat penting untuk kesejahteraan hidup, sama ada golongan muda atau tua.

Katanya, ramai yang terlupa mengenai kepentingan menjaga kesihatan sehingga tidak menyedari penyakit yang menyerang tubuh badan sendiri.

Atas sebab itu, katanya kebanyakan golongan tua, selain orang muda juga sering menghadapi masalah kesihatan.

“Semua pastu tahu keadaan kesihatan berkait rapat dengan amalan dan gaya hidup iaitu mungkin tidak menjaga pemakanan, kurang bersenam dan stres.

“Sehubungan itu, saya menyeru orang ramai agar mengutamakan kesihatan diri supaya dapat menurunkan risiko penyakit sama ada berjangkit mahupun tidak berjangkit.

“Kita boleh beriadah sambil berzumba untuk menjaga kesihatan,” katanya ketika merasmikan Fitness Centre di Dewan Residensi Prima Kota Marudu, di sini, baru-baru ini.

Redonah berkata, semua lapisan masyarakat perlu sentiasa peka dan mengambil berat tahap kesihatan diri serta mengamalkan gaya hidup sihat.

Jelasnya, selain gaya hidup sihat, pengambilan makanan seimbang juga penting bagi mengekalkan kecergasan dan kesihatan badan.

“Penekanan mengenai gaya hidup sihat harus diberi kepada golongan generasi muda kerana mereka adalah tulang belakang kepada kemajuan negara pada masa depan.

“Kita semua perlu selitkan sedikit aktiviti bersukan dan riadah, walau sesibuk manapun jadual kerja kita, kita perlu sentiasa memelihara kesihatan dan bersukan adalah antara cara untuk kita meningkatkan mutu dan kualiti kesihatan kita,” katanya. – Info X