KOTA KINABALU: Orang ramai di sekitar bandar raya diingatkan supaya meningkatkan kewaspadaan dan langkah berhati-hati sempena cuti sekolah yang bermula 14 September ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, sebelum meninggalkan rumah, pastikan pagar, pintu dan jendela rumah ditutup rapi dan berkunci.
“Jangan biarkan perkakas seperti tukul, pemutar skru, tangan dan seumpamanya berada di luar kawasan rumah.
“Ini kerana ia boleh digunakan oleh penjenayah melakukan pecah rumah atau pecah kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya lagi, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meninggalkan barang berharga di dalam rumah atau kenderaan yang ditinggalkan.
“Terapkan semangat kejiranan dengan meninggalkan pesan kepada jiran untuk melihat dan memerhati kawasan rumah ketika ketiadaan di rumah.
“Jika perlu pasang alat keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) atau alat penggera,” katanya.
Sementara itu, Kasim juga mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya mengisi borang balik kampung supaya memudahkan pihak polis membuat pemantauan di kawasan kediaman mereka. – Info X