Search

Kim Swee belum putuskan aksi sulung Duarte

September 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Penyerang import baharu Sabah FC, Joào Pedro Boeira Duarte mungkin belum dapat mempamerkan aksi sulungnya pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Likas, malam esok.

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, berkata beliau belum membuat keputusan sama ada akan menurunkan Duarte atau tidak kerana masih membuat penilaian terhadap semua pemain.

Bagaimanapun, katanya jika Duarte diturunkan, beliau yakin pemain berasal dari Brazil itu dapat membantu Sabah FC melakar keputusan yang positif dalam perlawanan nanti.

“Apa-apapun kita tunggu perkembangan sehingga Ahad, sekiranya dapat diturunkan sudah pasti Joao Pedro dapat membantu Sabah FC mencatat kemenangan di gelanggang sendiri.

“Dalam tempoh sesi latihan, beliau menunjukkan komitmen baik untuk mempamerkan prestasi yang diharapkan menjelang perlawanan malam esok,” katanya mengulas persiapan Sabah nenghadapi Terengganu, malam esok.

Sementara itu, Kim Swee mengesahkan pertahanan pasukan, Dominic Tan belum pulih sepenuhnya selepas mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Harimau Malaya dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka, baru-baru ini.

“Darren Lok dan Daniel Ting yang turut beraksi bersama-sama Harimau Malaya dalam kejohanan Pesta Bola Merdeka baru-baru ini juga bersiap sedia beraksi membantu Sabah FC menentang Terengganu FC malam esok.

“Kita harapkan penyokong setia Sabah FC dapat turun memberikan sokongan padu menjelang perlawanan nanti,” katanya. – Info X