KOTA KINABALU: Kenaikan geran atau pemberian khas interim kepada RM600 juta untuk Sabah dan Sarawak pada tahun depan disifatkan sebagai hadiah istimewa kepada kedua-dua negeri itu sempena sambutan Hari Malaysia, Isnin ini.
Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Lahirul Latigu, berkata peningkatan itu juga jelas menunjukkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak.
Katanya, pemberian khas itu bukan saja membawa makna dalam bentuk kewangan tetapi juga melambangkan perhatian dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan unik Sabah, khususnya.
“Dengan dana tambahan ini, Sabah akan dapat menjalankan lebih banyak projek pembangunan, terutamanya dalam bidang infrastruktur yang sangat diperlukan.
“Kenaikan geran ini akan membolehkan negeri mempercepatkan pelaksanaan pelbagai projek yang memberi manfaat terus kepada rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar yang memerlukan sokongan tambahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan pemberian khas itu daripada RM300 juta sebelum ini ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), di sini, kelmarin.
Keputusan itu dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Ia adalah bayaran interim sehingga satu formula berkaitan pembayaran untuk Sabah dan Sarawak dapat diputuskan.
Sementara itu, Lahirul berkata AMANAH Sabah juga mengambil maklum mengenai tujuh tuntutan yang sudah diselesaikan di bawah MTPM63 dalam tempoh kurang dua tahun kepimpinan Anwar.
Antaranya, pengiktirafan JKR Sabah sebagai Jabatan Teknikal, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas dan pindaan Akta Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) yang memberi lantikan terhadap wakil Sabah.
Selain itu penyerahan kuasa kawal selia elektrik melalui Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), penyelarasan badan pentadbiran badan kehakiman dan garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud persekutuan.
“AMANAH Sabah amat menghargai usaha Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI dalam memastikan Sabah menerima haknya yang sewajarnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kenaikan geran dan rundingan berterusan di bawah MTPMA63 adalah bukti bahawa suara dan keperluan rakyat Sabah terus didengari dan dipenuhi.
“Dengan adanya komitmen seperti ini, AMANAH Sabah yakin bahawa masa depan Sabah akan lebih cerah, selari dengan matlamat pembangunan dan kesejahteraan bersama seluruh negara,” katanya. – Info X