Search

Warisan desak siasatan menyeluruh kematian doktor pakar

September 17, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan menggesa pihak berkuasa untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes kematian seorang doktor pakar di Lahad Datu yang dikaitkan dengan tekanan tugas di hospital.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata siasatan menyeluruh perlu bagi mengenal pasti punca sebenar yang membawa kepada kematian doktor terbabit dan tindakan yang wajar diambil.

Katanya, keadaan kerja yang sihat dan bebas daripada buli adalah hak setiap individu, khususnya dalam kalangan petugas perubatan yang sentiasa berada dalam tekanan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Saya berharap siasatan ini dapat membuka jalan untuk memperbaiki sistem sedia ada dan memastikan ianya tidak lagi berlaku pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengarahkan siasatan lanjut susulan kematian seorang pakar patologi di Hospital Lahad Datu, Dr Tay Tien Yaa, yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya tidak bertoleransi sama sekali terhadap sebarang perbuatan buli yang ditekankan beliau sejak 2018, ketika pertama kali memegang jawatan Menteri Kesihatan.

Sementara itu, Azis turut mencadangkan beberapa langkah yang perlu dilakukan kerajaan dan institusi perubatan ke arah menangani tekanan kerja petugas perubatan.

Katanya, langkah pertama ialah menerusi pendidikan dan kesedaran dengan mewujudkan program kesedaran mengenai kesihatan mental dan kepentingan persekitaran kerja yang selamat melalui bengkel dan seminar untuk membabitkan kakitangan perubatan.

“Langkah kedua ialah mewujudkan sistem laporan yang selamat sebagai saluran petugas kesihatan membuat laporan dengan selamat dan anonim untuk melaporkan sebarang bentuk buli atau tekanan tanpa takut terhadap tindakan balas.

“Ketiga, mesti ada pemantauan dan penilaian terhadap beban kerja dan tekanan yang dihadapi kakitangan perubatan. Penilaian berkala terhadap sistem kerja perlu dilakukan untuk memastikan ia tidak membebankan kakitangan.

“Seterusnya, perlu ada akses sokongan psikologi dan kaunseling bagi petugas kesihatan yang mengalami tekanan di tempat kerja. Ini termasuk penyediaan ruang yang selesa untuk berbincang dan berkongsi masalah,” katanya.

Langkah kelima yang perlu diambil berat katanya ialah penguatkuasaan undang-undang khusus yang melindungi petugas kesihatan daripada buli dan tekanan di tempat kerja serta mengukuhkan tanggungjawab pihak pengurusan.

Katanya, kehilangan doktor terbabit adalah satu lagi peringatan pahit mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental dalam kalangan petugas perubatan.

“Saya juga berharap pihak kerajaan mengambil serius isu ini dan memberi perhatian yang sewajarnya. Kehilangan Dr Tay Tien Yaa merupakan satu kerugian khususnya kepada rakyat negeri Sabah.

“Sesungguhnya hari ini kita mengharapkan agar lebih ramai anak Sabah untuk berkhidmat di negeri ini bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pakar khususnya dalam sektor perubatan,” katanya. – Info X