TENOM: Bumbung Balai Polis Tenom, di sini, rosak teruk akibat dibadai angin kencang, petang ini.
Kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan bumbung bangunan Balai Polis Tenom diterbangkan angin.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintenden Ediansha Endal ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, pegawai dan anggota Balai Polis Tenom berada di lokasi bagi tujuan pemantauan dan kawalan keselamatan.
“Kejadian angin kencang menyebabkan bumbung Balai Polis Tenom diterbangkan angin.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan pemantauan sedang dijalankan,” katanya.
Kejadian ‘bumbung terbang’ ketika hujan lebat dan angin kencang itu turut tular di media sosial menerusi satu video berdurasi kira-kira seminit.
Beberapa kenderaan nyaris dihempap bumbung yang terbang ke seberang jalan namun sempat mengelak dan tiada kecederaan dilaporkan. – Info X