Search

Penduduk diminta waspada ancaman ribut

September 18, 2024

Info X Reporters

PUTATAN: Penduduk daerah ini dan sekitarnya dinasihatkan sentiasa berwaspada terhadap aspek keselamatan berikutan hujan lebat dan ribut yang melanda beberapa sejak beberapa hari lalu.

Ketua UMNO Putatan, Jeffery Nor Mohamed, berkata, langkah berwaspada terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan pantai perlu ditingkatkan.

Katanya, langkah itu sejajar amaran ribut petir melanda Sabah yang dikeluarkan Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) sejak beberapa hari lalu.

Selain Putatan, kawasan lain yang terjejas akibat cuaca buruk itu ialah kawasan pedalaman, iaitu Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau, dan Tambunan, selain Papar, Penampang, Kota Kinabalu dan Kota Belud di pantai barat serta Kudat di utara Sabah dab Wilayah Persekutuan Labuan.

“Saya berharap penduduk di kawasan ini dan sekitarnya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, terutama bagi mengelakkan risiko banjir kilat, tanah runtuh dan pokok tumbang,” katanya selepas meninjau beberapa rumah penduduk di Pulau Gaya yang terjejas akibat angin kencang semalam.

Katanya, sebagai tanda simpati, UMNO Putatan Umno akan membantu apa yang termampu bagi meringankan beban mangsa membaiki kerosakan rumah mereka.

Beliau juga berharap agar pihak yang berkenaan, khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terlibat.

Jeffrey meninjau kerosakan rumah dialami penduduk Pulau Gaya akibat angin kencang sejak beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah turut mengingatkan orang ramai agar menangguhkan aktiviti luar, termasuk nelayan sehingga keadaan cuaca kembali stabil.

Katanya, orang ramai perlu sentiasa memantau perkembangan cuaca melalui laman web rasmi MetMalaysia atau aplikasi mudah alih dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika keadaan bertambah buruk.

“Penduduk juga dinasihatkan agar menjauhi kawasan pantai, bangunan yang tidak kukuh dan kawasan lapang bagi mengelak kejadian yang tidak diingini serta tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang berpokok kerana banyak kejadian kenderaan dihempap pokok,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Jeffery juga meminta pihak berkuasa khususnya Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu (DBKK) agar sentiasa memantau pokok berisiko tumbang atau patah di sekitar bandar raya, terutama di sepanjang jalan raya. – Info X