Search

Kanak-kanak perempuan dikhuatiri lemas

September 20, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hanyut ketika menyeberangi sungai di Kampung Ranggu, Batu 8, Jalan Apas, di sini petang tadi.

Mangsa Putri Jimar, 4, dikatakan cuba menyeberangi sungai bersama bapanya sebelum dihanyutkan arus deras sungai.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.06 petang.

Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zougarana Konin digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kaedah pencarian surface rescue termasuk orang awam.

“Radius pencarian dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dan mangsa belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 8.11 malam dan akan disambung semula pada esok pagi.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X