Search

Tiga kereta rosak dihempap pokok

September 24, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Tiga kereta rosak selepas sebuah garaj dihempap pokok tumbang di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.05 pagi.

Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mengalihkan pokok tumbang berkenaan.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati tiga buah kereta yang parkir di sebuah garaj mengalami kerosakan akibat dihempap pokok tumbang.

“Pasukan bomba terus menjalankan operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang berkenaan menggunakan gergaji berantai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang. – Foto/Bomba

Menurutnya, insiden pokok tumbang itu hanya membabitkan kerosakan kereta sahaja, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kejadian selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 10 pagi,” katanya. – Info X