Search

Bekas isteri mengaku tidak bersalah bunuh pemandu e-hailing

September 24, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Bekas isteri pemandu e-hailing yang mati dibunuh di sebuah ladang kelapa sawit, di sini, tahun lalu, mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi Tawau atas tuduhan membunuh bekas suaminya, hari ini.

Tertuduh, Nurima Juli, 34, bersama adik tirinya, Sadam Kiram, 30, yang dituduh mencapai niat bersama membunuh mangsa berusia 61 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah ladang kelapa sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Batu 5 Jalan Apas, di sini, antara jam 7.30 malam hingga 11.30 malam, pada 13 Januari 2023.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Duncan kemudian menetapkan 18 Oktober depan bagi semakan kes dan status permohonan kebenaran pengecualian untuk mendengar kes terbabit daripada Hakim Besar Sabah Sarawak.

Dalam prosiding hari ini, Duncan berkata, beliau tidak dapat mendengar kes berkenaan bagi mengelak ketidakadilan dan penghakiman berat sebelah memandangkan sebelum ini pernah menjadi hakim bagi kes bunuh itu ketika Nurima tampil sebagai saksi utama pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fakhrurazi Ahmad Salim, manakala Nurima diwakili peguam Mark Rosaidey Mohd Amin dan Sadam diwakili peguam Jhassary P Kang.

Pada 25 Januari lalu, lapan individu dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini atas kematian pemandu e-hailing itu, namun mereka dilepas dan dibebaskan selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan kes apabila mendengar keterangan Nurima yang mengaku membunuh bekas suaminya itu.

Ketika itu, Nurima membuat pengakuan menikam bekas suaminya dengan gunting selepas berlaku pertengkaran di dalam sebuah kereta di ladang kelapa sawit pada malam 13 Januari tahun lalu. – Info X