KOTA KINABALU: Seramai sembilan pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyahut cabaran mendaki Gunung Kinabalu sempena 30 tahun penubuhan universiti berkenaan.
Cabaran dilaksanakan menerusi program Pengantarabangsaan Melalui Warisan 2024: Perjalanan Antarabangsa Ke Puncak itu dianjurkan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS.
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata program itu dilaksanakan sebagai satu inisiatif untuk mempromosikan UMS khususnya dan negeri Sabah kepada pelajar antarabangsa.
“Pendakian Gunung Kinabalu oleh pelajar-pelajar antarabangsa ini adalah bagi memperkenalkan UMS dan negeri Sabah di mata dunia, bahawa negeri ini memiliki banyak khazanah yang perlu diterokai bukan hanya dimanfaatkan untuk pengajaran dan pembelajaran tetapi perlu dialami dan dipelopori.
“Kita telah memilih sembilan orang pelajar antarabangsa disebabkan UMS merupakan universiti kesembilan daripada 20 universiti awam di Malaysia,” katanya selepas menyempurnakan acara pelepasan ekspedisi pendakian pelajar terbabit di Foyer Bangunan Canselor, UMS.
Sembilan pelajar antarabangsa yang menyertai cabaran itu ialah pelajar Jepun, Timor Leste, Bangladesh, Yaman, Pakistan, China, Brunei Darussalam, Filipina dan Indonesia.

Kasim berkata misi pendakian itu menunjukkan keprihatinan UMS prihatin terhadap kebajikan dan keperluan pendedahan kepada pelajar antarabangsa supaya mereka diberi peluang dan kesempatan menghayati keindahan alam semula jadi di Sabah.
Terdahulu, Pengarah PPPG, Prof Madya Dr Wardatul Akmam Din, berkata peserta cabaran itu menunjukkan semangat yang tinggi dan sudah membuat persiapan rapi dalam menjayakan ekspedisi berkenaan.
“Mereka menawarkan diri untuk menyertai tanpa sebarang paksaan kerana mendaki Gunung Kinabalu bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya ia memerlukan ketahanan fizikal dan mental.

“Peserta dipilih mengikut aspek fizikal dan mental. Mereka telah berlatih beberapa minggu sebagai persediaan untuk ekspedisi ini,” katanya.
Hadir sama pada acara pelepasan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Shahril Yusof. – Info X