TAWAU: Seorang pekerja kontrak maut dirempuh sebuah kereta ketika menjalankan kerja membaiki jalan di bahu jalan di Kilometer 32, Jalan Tawau – Kunak, di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 62 tahun yang tercampak sejauh 27 meter selepas dirempuh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, ketika pemandu kereta jenis Perodua Viva lelaki berusia 23 tahun dari Kunak menuju ke Hospital Tawau.
“Sebaik tiba di lokasi, pemandu kereta dipercayai memandu laju sambil memotong dua kenderaan di hadapannya, menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu terbabas le kanan jalan.
“Kereta itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan melanggar seorang lelaki yang berada di bahu kiri jalan sedang membuat kerja memasang cerucuk jalan di jalan utama bersama dua rakan sekerjanya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, selepas perlanggaran itu, mangsa tercampak sejauh 27 meter dan jatuh di atas rumput di bahu kiri jalan di laluan bertentangan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Balung, manakala dua rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu Perodua Viva ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) iaitu memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.
Sementara itu, Champin berkata, masyarakat umum juga dinasihatkan supaya memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi menjamin keselamatan diri serta semua pengguna jalan raya. – Info X