KOTA KINABALU: Meskipun kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota di Johor belum lagi berakhir, UMNO Sabah yang turut membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di kerusi itu yakin kemenangan bakal berpihak kepada BN.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata semangat yang ditunjukkan jentera kempen BN dan rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota cukup meyakinkan untuk BN terus mempertahankan kerusi berkenaan.
Beliau berkata, semangat yang diperolehi BN pada PRK itu, selain pada PRK Nenggiri di Kelantan sebelum ini bakal dibawa ke Sabah untuk dijadikan penguat jentera BN dan UMNO Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Katanya, kemenangan pada kedua-dua PRK itu membawa imej positif kepada UMNO dan BN untuk pulih dan terus bangkit selaras dengan transformasi yang dilakukan UMNO termasuk membuka peluang kepada calon muda untuk mengukuhkan parti itu.
“Kejayaan BN di PRK Nenggiri dan menyusul nanti PRK DUN Mahkota (Insyallah), sememangnya boleh meningkatkan moral bagi Kerajaan Perpaduan dengan menunjukkan keberkesanan gabungan mereka dan keupayaan untuk menang di kawasan yang mencabar.
“Dalam masa yang sama bagi kami UMNO dan BN Sabah, kejayaan BN dalam dua PRK kali ini turut memberikan anjakan paradigma untuk kami lebih yakin dan bersemangat menghadapi PRN17 di Sabah akan datang,” katanya dalam satu kenyataan selepas membantu kempen PRK Mahkota di Kluang, Johor, semalam.

Hadir sama pada kempen diketuai UMNO Sabah itu ialah calon BN PRK Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah; Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, berkata kemenangan besar BN di PRK Nenggiri pada 17 Ogos lalu dan menyusul di PRK DUN Mahkota selepas ini, memberikan momentum positif kepada jentera BN di seluruh negara.
“Bagaimanapun, berbeza dengan Nenggiri, strategi seperti ini tidak boleh dibawa oleh UMNO Sabah dalam PRN17 akan datang kerana di Sabah kita mempunyai banyak isu besar terutama berkaitan penyediaan prasarana asas, jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan isu kemiskinan.
“Hakikatnya Nenggiri dan Mahkota itu berbeza tetapi momentum kejayaan UMNO dan BN di Nenggiri dan Mahkota ini boleh dibawa ke Sabah dan digunakan oleh UMNO Sabah,” katanya. – Info X