KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Talangkai Karamatoi, Sook, Keningau disambung pagi tadi.
Namun, sehingga ini operasi SAR masih belum menemukan kedua-dua mangsa terbabit.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga dimulakan pada 7.30 pagi.
Katanya, operasi SAR membabitkan 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Nabawan dan Keningau.

“Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.
“Operasi SAR menggunakan teknik surface searching sejauh lima kilometer,” katanya.
Menurutnya lagi, sehingga ini mangsa belum ditemui dan operasi ditangguhkan pada jam 5.30 petang dan akan disambung esok pagi.
Terdahulu, pada 24 September, mangsa warga Indonesia iaitu Norsifah Asrul dan adiknya Muhd Fadli Asrul masing-masing berusia dua tahun dan tiga bulan dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu.
Kedua-dua beradik terbabit dikatakan terlepas daripada pegangan ibu bapanya ketika bersiap-siap untuk dimandikan dalam kejadian pada kira-kira 5 petang. – Info X