KOTA KINABALU: Jaringan ’emas’ Melawati Junior Tiger FC (Kuala Lumpur) di masa tambahan mengecewakan skuad MMT Jr (Keningau) dalam aksi final Malaysia Borneo Football Cup 2024, di Stadium UMS, petang tadi.
Pasukan MMT Jr yang majoritinya dibarisi pemain dari pedalaman Sabah lebih dulu membuka tirai jaringan di babak pertama.
Bagaimanapun, Melawati Junior Tiger FC berjaya menyamakan kedudukan bagi menjadikan kedudukan 1-1 dan ianya kekal sehingga tamat permainan.
Penentuan juara edisi kali ini kemudian terpaksa diheret ke masa tambahan dengan jumlah pemain juga dikurangkan kepada sembilan sebelah.
Masa tambahan pertama menyaksikan kedua-dua pasukan masih gagal menambah jaringan walaupun masing-masing mempunyai peluang baik untuk ‘menghabiskan’ permainan.
Pada masa tambahan kedua, nasib lebih memihak kepada Melawati Junior Tiger FC apabila berjaya mendapatkan jaringan emas menerusi cubaan dari luar kotak penalti, sekali gus dinobatkan sebagai juara kejohanan itu bagi kategori B-12.

Sementara itu, SK Likas muncul pemenang tempat ketiga apabila menewaskan Tuubagu FC dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat. – Info X