Search

Polis tahan pemandu lori edar lebih 3.3 kilogram ganja

September 27, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang pemandu lori selepas menemui 3,322.72 gram ganja bernilai RM10,380 dalam serbuan di kawasan lorong Industri Megah 2, di sini, pada 23 September lalu.

Suspek warga tempatan berusia 39 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan serbuan menemukan sejumlah dadah jenis ganja seberat 9.98 gram ketika pemeriksaan dijalankan ke atas lelaki terbabit.

Katanya, hasil soal siasat dijalankan, suspek mengakui telah menyembunyikan lebihan ganja di rumahnya di Bandar Sri Indah, Fasa 3, di sini.

“Dengan dipandu arah suspek, polis membuat serbuan di rumah berkenaan kira-kira 1.40 petang hari yang sama.

“Hasil serbuan itu, menemukan ganja seberat 3.322.72 gram bernilai RM10,380,” katanya dalam sidang media di IPD Tawau, di sini, hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut juga mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak setahun lalu di daerah ini dan modus operandinya adalah menghantar sendiri ganja berkenaan kepada pelanggan.

Ganja yang dirampas susulan penahanan pemandu lori dalam serbuan di Tawau.

Katanya, suspek dipercayai mendapat bekalan ganja berkenaan daripada Kota Kinabalu, sebelum dijual kepada penagih di daerah ini melalui pesanan telefon.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) dan mempunyai dua rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan kini polis sedang berusaha mengesan rangkaian sindiket ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan berkenaan adalah kes yang pertama direkodkan tahun ini membabitkan dadah jenis ganja oleh IPD Tawau.

“Polis ingin menegaskan bahawa mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah adalah satu kesalahan di sisi undang-undang di negara ini.

“Justeru, polis mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam untuk bersama-sama membanteras kegiatan ini,” katanya. – Info X