Search

Majlis Tindakan Iklim Sabah tangani isu perubahan iklim

September 27, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menubuhkan Majlis Tindakan lklim Sabah (SCAC) sebagai badan bertindak bagi menetapkan hala tuju dan menyelaras projek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim di peringkat negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah telah membuat pindaan ke atas Ordinan Tanah Sabah Bab 68, dengan memasukkan peruntukan perundangan berkaitan penyimpanan karbon yang mula berkuat kuasa pada 19 Jun 2023.

“Selain itu, Sabah juga baru sahaja menyelesaikan kajian inventori Greenhouse Gas (GHG) Sabah dan penilaian kerentanan untuk pembangunan Dasar Perubahan lklim Sabah ke arah pembangunan rendah karbon Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Sabah Mengenai Pelaksanaan Inisiatif Pemerangkapan, Penggunaan Dan Penyimpanan Karbon di Malaysia di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Kinabalu, hari ini.

Hajiji diwakili Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Jeffrey mewakili Ketua Menteri pada Sesi Libat Urus Kementerian Ekonomi Bersama Kerajaan Negeri Sabah.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; Peguam Besar Negeri, Datuk Datuk Brenndon Keith Soh dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Haji Rosli Isa.

Hajiji berkata, inisiatif CCUS juga selaras dengan iltizam Kerajaan Negeri dalam menangani isu perubahan iklim dan merealisasikan agenda teknologi hijau negara serta sumbangan wilayah Sabah kepada komitmen negara merealisasikan Nationally Determined Contributions (NDCs).

Menurutnya, Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa Draf Rang Undang-Undang (RUU) CCUS sedang digubal di peringkat Kerajaan Persekutuan dan percaya semua pihak berkepentingan termasuk kementerian persekutuan, pemain industri dan kerajaan negeri dilibatkan dalam menyediakan RUU yang komprehensif.

Beliau berkata, terdapat sembilan mesej utama untuk diketengahkan dalam pelan komunikasi mengenai inisiatif CCUS di Malaysia, merangkumi aspek manfaat ekonomi, perlindungan alam sekitar, kesiapsiagaan dan teknikal.

Hajiji berkata, inisiatif CCUS adalah selamat, diperlukan untuk membantu Malaysia mencapai Aspirasi Bersih Sifar pada tahun 2050.

“CCUS mengurangkan impak
perubahan iklim, pengurusan risiko CCUS melalui penggubalan perundangan dan peraturan yang komprehensif dan pengawalseliaan aktiviti yang berkesan.

“CCUS membantu Sektor Hard-To-Abate Tempatan bagi menangani Pelepasan Gas Karbon Dioksida, mengurangkan kos penyahkarbonan bagi Sektor Hard-To-Abate Tempatan.

“Malaysia berpotensi menjadi Hab Serantau CCUS dan ia mendorong pertumbuhan CCUS meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya.

Hajiji berharap menerusi kerjasama Kementerian Ekonomi untuk memastikan input dari Sabah diambil kira bagi memastikan Sabah tidak tertinggal dalam inisiatif CCUS.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui kementerian, jabatan dan agensi negeri yang berkaitan akan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap input yang diperlukan dalam pelaksanaan inisiatif CCUS. – Info X