KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa komited untuk memastikan hasil penyelidikan di universiti itu tidak dibiarkan terperuk atau hanya tersimpan dalam laporan akademik.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, sebaliknya berkata pihak universiti mahu manfaat daripada hasil penyelidikan yang dilaksanakan penyelidiknya dikongsi kepada masyarakat.
“Di sinilah pentingnya peranan penyelidikan dan inovasi kerana dengan menerapkan pendekatan penyelidikan yang berfokus kepada cabaran, kita dapat mencari solusi mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan daya saing perdagangan dalam negeri.
“Misalnya dalam sektor pertanian, penyelidikan kita boleh memfokuskan kepada pembangunan teknik pertanian yang lebih efisien dan mampan.
“Ini termasuk penggunaan teknologi baharu yang boleh meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan kos operasi seperti penggunaan baja dan racun yang lebih efisien, serta sistem pengairan yang lebih canggih.
“Cara itu dapat mengurangkan kos pengeluaran dan membantu menurunkan harga barangan keperluan serta meningkatkan pendapatan petani,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Khidmat Masyarakat Berteraskan Penyelidikan Tahun 2024 yang dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, baru-baru ini.

Kasim berkata, UMS akan terus berusaha menjadikan penyelidikan serta inovasi sebagai alat memperbaiki kualiti hidup masyarakat setempat.
Jelasnya, penyelidikan adalah salah satu usaha secara langsung yang dapat memberikan impak positif dan nyata dalam kehidupan.
Katanya, penyelidikan bertujuan mengenal pasti keperluan dan cabaran yang dihadapi di samping mencari solusi yang inovatif dan praktikal.
“Hari ini kita dapat saksikan bagaimana penyelidikan serta inovasi dalam bidang pertanian, kesihatan, pendidikan dan sumber asli boleh membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
“Contohnya, penyelidikan dalam teknik pertanian moden boleh membantu meningkatkan hasil tanaman dan mengurangkan penggunaan bahan kimia yang berbahaya,” katanya.

Sementara itu, Program Khidmat Masyarakat Berteraskan Penyelidikan kali ini dianjurkan bersempena Simposium Penyelidikan UMS-RES 2 Tahun 2024 yang membentangkan sebanyak 57 kertas penyelidikan.
Simposium itu adalah kesinambungan daripada penganjuran tahun lalu yang berlangsung di Kudat sebagai usaha berterusan Pusat Pengurusan Penyelidikan UMS mengadakan Pemantauan Geran Dalaman bagi geran UMS Great. – Info X