Search

Kontraktor Pan Borneo diberi amaran, pastikan projek siap ikut jadual

October 5, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi amaran kepada kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah supaya memastikan kerja dilaksanakan mengikut jadual.

Amaran itu diberikan kepada kontraktor yang baru menerima surat lantikan untuk memulakan kerja Fasa 1B membabitkan 19 pakej bernilai RM13.9 bilion.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata beliau mahu memastikan semua 19 pakej itu tidak berlaku kelewatan.

Beliau menegaskan, kementeriannya tidak mahu kelewatan yang berlaku terhadap projek Fasa 1A sebelum ini berulang dalam projek Fasa 1B.

Alexander Nanta Linggi.

“Kita memberi amaran kepada semua kontraktor, kita mesti elak masalah atau isu yang mengekang perjalanan projek ini. Kita belajar daripada apa yang menyebabkan kelewatan sebelum ini.

“Kita mohon kepada semua pihak, lebih-lebih lagi agensi kerajaan yang terbabit supaya kerap bermesyuarat dan memastikan koordinasi semua pihak supaya kontraktor dipantau dengan rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi Pakej Kerja Fasa 1B kepada 13 kontraktor, di sini, malam tadi.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Alexander menyampaikan Surat Setuju Terima kepada wakil kontraktor Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B.

Pakej kerja (WP) itu merangkumi Jajaran Barat Laut, iaitu WP11 hingga WP14 yang bermula dari Kota Belud ke Kudat; Jajaran Tenggara, WP16 – WP20 (Tawau ke Lahad Datu); Jajaran Timur Laut, WP22 – WP26 (Lahad Datu ke Sandakan) dan Jajaran Tengah, WP31 – WP35 (Telupid ke Ranau).

Alexander berkata, kerja pembinaan di semua jajaran terbabit boleh dimulakan pada bila-bila masa dan mereka digesa supaya masuk ke tapak segera dan tidak melengah-lengahkannya.

Bagi Fasa 1A yang membabitkan sebanyak 16 pakej sebelum ini, katanya kerja pembinaan kini mencapai 78 peratus selepas projek dimulakan pada 2016.

Katanya, berikutan pelbagai masalah yang menjejaskan pelaksanaan projek Fasa 1A sebelum ini, pihaknya menegaskan mahu projek bagi fasa itu siap keseluruhannya pada suku kedua 2026.

Tempoh pembinaan bagi Pakej Kerja Fasa 1B adalah di antara 36 bulan hingga 48 bulan dengan kos pembangunan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Persekutuan. – Info