Search

RM40 bilion nilai projek dikendalikan JKR Sabah – Ahmad Maslan

October 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengendalikan sebanyak 488 projek pelbagai kementerian, selain Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan nilai keseluruhan projek mencecah RM40 bilion, ketika ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata 488 projek itu merangkumi masing-masing 200 projek di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), diikuti 41 projek di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan 47 projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Beliau berkata, secara keseluruhan, nilai kos 488 projek di bawah empat kementerian berkenaan mencecah RM13 bilion, manakala Projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 1A dan Fasa 1B bernilai RM26.6 bilion.

“Jadi, apabila kita campurkan, RM13 bilion campur RM26.6 bilion, jumlahnya ialah RM39.6 bilion atau jika dibundarkan RM40 bilion projek yang dikendalikan oleh KKR, Kementerian Kewangan dan JKR Sabah untuk manfaat rakyat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja ke JKR Sabah, di sini, hari ini. Hadir sama Pengarah JKR Sabah, Datuk Philemon Lajawai.

Sempena lawatan itu, Ahmad diberi taklimat mengenai perkembangan projek yang dikendalikan JKR Sabah ketika ini.

Ahmad Maslan (tengah) bersama Philemon pada taklimat sempena lawatan kerja ke JKR Sabah.

Beliau berkata, projek di bawah KPM kebanyakannya berkaitan projek sekolah daif dengan nilai keseluruhan RM1.71 bilion, manakala projek berkaitan pembinaan jalan kampung dan jalan perhubungan desa di bawah KKDW bernilai RM5.04 bilion.

“Di bawah KKR, nilai 47 projek yang dilaksanakan ialah RM5.78 bilion, terutama membuat jalan-jalan, jambatan dan bangunan. Di bawah KKM pula, projek yang dilaksanakan ketika ini ialah pembinaan klinik dan hospital dengan nilai RM0.43 bilion.

“Ini tidak termasuk Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dalam pakej Fasa 1A dan Fasa 1B. Saya juga diberikan taklimat mengenai projek lebuh raya itu dan memberikan pandangan agar pelaksanaan pakej kerja 1B belajar daripada kesilapan, kelewatan dan masalah yang berlaku dalam pakej Fasa 1A,” katanya.

Katanya, JKR Sabah turut diundang untuk mempelajari pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak berdasarkan pengalaman negeri jiran itu berjaya menyiapkan projek berkenaan dengan pencapaian ketika ini sudah 99 peratus.

Ketika ini, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi pakej Fasa 1A baru mencapai 79 peratus dengan jangkaan siap pada akhir tahun depan dan awal 2026, manakala pakej kerja bagi Fasa 1B baru selesai penyerahan surat setuju terima (SST) kepada kontraktor. – Info X