Search

Siling stesen minyak runtuh, 6 kereta dihempap

October 14, 2024

Info X Reporters

KINABATANGAN: Struktur siling sebuah stesen minyak di Bukit Garam, dilapor runtuh ketika hujan lebat dan angin kencang, petang tadi.

Keadaan kerosakan stesen minyak berkenaan dikongsikan pengguna media sosial dan enam kenderaan yang berada di stesen minyak itu ketika kejadian dihempap bumbung yang runtuh.

Semua enam kenderaan yang rosak iaitu Toyota Hilux, Isuzu D Max, Proton X70, Exora, Perodua Alza dan Myvi.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.47 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak enam kilometer dari balai bomba.

Pasukan bomba mengalihkan runtuhan ke tempat selamat. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba didapati berlaku runtuhan bumbung dan siling stesen minyak dan menghempap enam kenderaan.

“Bagaimanapun tiada mangsa terbabit dilaporkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak mengalihkan runtuhan ke tempat selamat.

“Pemeriksaan dijalankan memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 6.59 petang,” katanya. – Info X