KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan digesa supaya memberi perhatian terhadap tugas hakikinya untuk menumpukan keperluan kesihatan, khususnya di Sabah yang masih banyak kekurangan.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata banyak kelemahan seperti ketiadaan pakar dan doktor di Hospital Kinabatangan dan Klinik Kesihatan Tongod yang perlu diberi perhatian.
Katanya, disebabkan keadaan itu, jika berlaku kemalangan di Kinabatangan, mangsa terpaksa dihantar ke Sandakan dan akhirnya mati sebelum sampai ke hospital.
Beliau menyindir apa yang dilakukan Kementerian Kesihatan ketika ini yang didakwanya lebih menumpukan operasi mencari perokok hingga ke Parlimen.
“Di Kinabatangan, apabila ada kemalangan berlaku, terpaksa hantar ke Sandakan, ‘half way’ sudah mati. Jadi, saya tidak tahulah apa yang Kementerian Kesihatan sibuk, daripada sibuk menangkap, mencari perokok, saya rasa lebih eloklah tumpukan pekerjaan hakiki.
“Periksalah kedai-kedai makan yang kotor, tidak bersih..tandas tidak boleh pakai. Ini sampai ke Parlimen memeriksa orang menghisap rokok.
“Di United Kingdom, Parlimen ini satu institusi yang terunggul tetapi ada ruang untuk Ahli Parlimen merokok, ada bar lagi. Di tempat kita ini macam penjara.
“Jadi orang tiada pilihan, pigi ‘public’, tiba-tiba ada penguatkuasa datang pula, sedangkan kawasan Parlimen ini kawasan terhad untuk Ahli Parlimen, bukan untuk mencari siapa yang merokok,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, Kementerian Kesihatan perlu menghentikan tindakan seumpama itu.
“Ini saya tidak tahu, ini menteri apa yang dia buat ini..berhentilah perkara-perkara ini, sebab kalau kebersihan restoran tidak bersih, ramai orang mati juga.
“Saya nampak ramai juga yang mati kena kanser tidak merokok, saya pun tidak tahu,” katanya. – Info X