Search

‘Masih ada tidak tahu di mana Sabah’

October 24, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Di mana Sabah? Itu antara pertanyaan delegasi Persidangan Dunia Persatuan Konvensyen dan Persidangan Antarabangsa (ICCA) Ke-63 di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu, kelmarin.

Pertanyaan itu dijawab Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, yang mengetuai delegasi Sabah ketika diberi peluang bercakap mengenai Sabah.

Persidangan yang disertai lebih 1,500 delegasi dari 78 negara itu berjaya memperkenalkan Sabah dengan ‘tagline’ Feel Sabah, North Borneo yang dipersembahkan Biro Konvensyen Sabah (SCB) di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri (KePKAS).

Christina memberi penjelasan kepada delegasi persidangan itu mengenai kedudukan geografi Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang terletak di utara Pulau Borneo.

Beliau juga memperkenalkan Sabah sebagai destinasi yang ideal bagi penganjuran Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) atau acara perniagaan (BE).

Delegasi yang hadir pada persidangan ICCA di Abu Dhabi.

Selain itu, satu persembahan video berdurasi dua minit turut diadakan bagi menonjolkan keindahan alam semula jadi, tapak selaman berkelas dunia, kekayaan warisan budaya dan tarikan lain Sabah.

“Jika di Abu Dhabi ada taman tema tertutup yang terbesar di dunia, kami di Sabah dianugerahkan dengan taman tema semula jadi – hutan tropika berusia jutaan tahun.

“Datanglah ke Sabah dan rasai kemegahan, terokai keindahan Sabah serta alami keunikan kami di Sabah,” katanya sambil menjemput delegasi pada persidangan itu untuk melawat Sabah.

Mengiringi Christina pada persidangan itu ialah Setiausaha Tetap KePKAS, Josie Lai; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SCB, Noredah Othman dan CEO Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Datuk Rosmawati Lasuki.

ICCA yang diasaskan pada 1963 adalah satu daripada pertubuhan yang dikenali dalam dunia mesyuarat antarabangsa.

Ia mengkhusus dalam mesyuarat kerajaan dan persatuan antarabangsa, menawarkan pendidikan, kehubungan, pembangunan perniagaan dan peluang jaringan. – Info X