Search

Sabah komited melestarikan industri sawit

October 28, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri komited untuk melestarikan industri sawit sejajar kedudukannya sebagai komoditi eksport paling signifikan bagi negeri ini dengan sumbangan 22 peratus atau RM6.22 bilion kepada hasil negeri dari 2018 hingga 2023.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sebagai peneraju industri sawit di Malaysia, kerajaan sedar cabaran yang perlu dihadapi bagi memastikan industri ini kekal relevan pada masa depan.

“Oleh itu, kerajaan perlu bersedia dan memperkenalkan pendekatan inovatif untuk membantu industri ini mencapai dan memenuhi keperluan pensijilan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Sawit Dunia 2024 bertemakan ‘Future-Proof The Palm Oil Industry – Enhancing Sustainability, Innovation and Growth’ di Hotel Hilton, di sini, hari ini.

Ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Hajiji berkata, sambil menelusuri masa depan, inovasi dan kelestarian perlu menjadi fokus utama dalam usaha membangunkan industri sawit.

“Sabah sudah memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan jejak alam sekitar dalam pengeluaran sawit,” katanya.

Beliau berkata, teknologi pertanian tepat (precision agriculture), mekanisasi, dan teknik pengurusan perosak yang canggih adalah antara inovasi yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan hasil dan kelestarian.

Pada 2023, Sabah menghasilkan 4.5 juta tan minyak sawit mentah (CPO) dan kekal sebagai pengeluar terbesar CPO di negara ini, berikutan kadar hasil buah dan perahan minyak yang tinggi.

Katanya, ketika ini ada 128 kilang sawit beroperasi di seluruh negeri dengan kapasiti memproses sehingga 34.7 juta tan tandan buah segar (FFB) setiap tahun.

Beliau berkata, kadar perahan minyak (OER) sawit di Sabah adalah yang tertinggi di negara ini, iaitu mencecah 20.4 peratus.

“Hab industri kita sangat penting untuk mengekalkan pertumbuhan ini. Kerajaan Sabah memiliki Kluster Industri Minyak Sawit Lahad Datu (POIC) di pantai timur Sabah, seluas 4,400 ekar, yang menyokong industri ringan, sederhana, dan berat.

“POIC ini mempunyai pelabuhan khusus untuk kargo pukal, kargo cecair dan kontena. Pelabuhan ini terletak di pelabuhan semula jadi yang dalam dan mampu menampung kapal kargo besar,” katanya.

Selain itu, Ketua Menteri berkata POIC Sawit seluas 2,810 ekar di Sandakan, di bawah pengurusan Sawit Kinabalu Sdn Bhd, direka untuk menarik pelaburan dalam sektor hiliran industri sawit.

“Kedua-dua POIC ini terletak berdekatan dengan ladang kelapa sawit dan kawasan yang kaya dengan sumber dalam wilayah BIMP-EAGA (Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur).

“Hab ini menjadi infrastruktur penting untuk pembangunan industri di pantai timur Sabah,” katanya.

Hajiji turut menekankan peranan penting industri sawit Sabah dalam mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dan menyokong matlamat Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 selaras dengan Pelan Peralihan Tenaga Negara.

“Sabah menyumbang 25.75 juta tan biomas daripada aktiviti kilang dan ladang sawit tahun lalu, membuka peluang besar untuk tenaga boleh diperbaharui dan inovasi.

“Kita memperkenalkan dasar Industri Biomas Sawit awal tahun ini yang akan mengawal selia eksport dan pengeluaran biomas agar Sabah dapat meraih manfaat daripada sumber berharga ini.

“Kita yakin dengan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta, Sabah boleh terus menjadi peneraju global dalam pengeluaran sawit mampan,” katanya.

Ketua Menteri turut menyeru semua pihak berkepentingan, pelabur, perniagaan dan pembuat dasar untuk bersama-sama kerajaan negeri menjadikan Sabah sebagai hab global pengeluaran sawit mampan.

“Dengan melabur dalam pemprosesan hiliran, mengadaptasi teknologi canggih dan mengekalkan piawaian kelestarian tertinggi, kita dapat memastikan industri penting ini terus berkembang sambil menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan makmur untuk semua,” katanya.

Ends

Pix – Jeffrey mewakili Ketua Menteri menyampaikan World Sustainable Plantation and ESG Excellence Award kepada Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg. – Info X